"Setiap kali hujan, air pasti melimpah ke rumah saya". Itulah luahan seorang penduduk di Kampung Tun Razak, Ali Bin Johari, 50 menceritakan mimpi ngeri setiap kali hujan turun yang mengakibatkan banjir berlaku di kawasan rumah beliau. Apabila hujan turun, beliau sangat risau kerana air naik secara pantas dan beliau serta isteri terpaksa bertungkus lumus bersiap sedia memindahkan barang.
Ketika saya di tempat kejadian, papan tanda yang tertera pada lokasi berkenaan ialah projek menaiktaraf jalan dan longkang di Kampung Tun Razak, Hang Tuah Jaya Melaka yang diberikan kepada kontraktor Perniagaan Binaan Semarak Hati dan sepatutnya siap pada 15 Jun 2011 namun keadaan masih kurang memuaskan kerana banjir masih lagi berlaku di kawasan tersebut.
Air limpahan dari longkang yang mengalir juga turut mengandungi air kumbahan seperti yng anda lihat dalam gambar di atas dan keaddan yang kurang selesa kerana lumpur tersebut berbau busuk dan menjengkelkan terutama mereka yang tinggal di kawasan berdekatan dengan aliran air tersebut. Laluan jalan tersebut juga merupakan laluan pelajar sekolah di kawasan berhampiran.
Lumpur pula hitam dan berbau hanyir kerana telah bercampur tanah dan sisa air kumbahan yang di bawa bersama. Bagaimana dengan pakaian pelajar sekiranya terpecik dengan lumpur terutamanya kepada mereka yang berbasikal dan yang berjalan kaki pula terpaksa memijak lumpur yang akan mengotorkan kasut mereka? Sampai bila mereka akan berhadapan dengan situasi ini?
Di sebalik laluan tadi, inilah laluan pelajar sekolah yang terpaksa menghidu bau busuk dan meredah lumpur jika hari hujan memandangkan jalan yang mereka lalui itu sudah jadi laluan utama air. Air dari kawasan tinggi di kawasan sekolah ini juga merupakan penyumbang utama berlakunya banjir kerana laluan untuk ke sekolah telah berbentuk alur seperti takungan air.
Selain rumah Ali B. Johari, ada rumah yang menerima nasib yang sama seperti rumah beliau. Setiap kali hujan, rumah tersebut mengalami masalah yang sama. Air yang di bawa dari longkang tidak dapat menampung isipadu air kerana longkang yang dibina itu terlalu kecil untuk menampung jumlah isipadu air ketika hujan turun.
Diharapkan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan amanah dan tugas dengan jujur agar keadaan ini tidak memberikan kesulitan terutama kepada penduduk dan pelajar yang menggunakan laluan berkenaan. Jangan kerana projek itu menguntungkan kerajaan negeri, masalah rakyat diabaikan demi memuaskan nafsu pihak tertentu. Laksanakanlah slogan 1Malaysia yang diwar-warkan mengutamakan rakyat.
Lagi gambar di sini
Lagi gambar di sini