Himpunan Kebangkitan Rakyat
Mohamad Sabu dan Saifuddin Nasution keluar dari ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang tadi. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
KUALA LUMPUR - Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu menegaskan pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi utama perhimpunan pada hujung minggu ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Pas itu tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertukaran lokasi sekiranya Perbadanan Stadium Merdeka masih enggan mengeluarkan surat kebenaran menggunakan kemudahan itu Sabtu ini.

"Kami akan tunggu sehingga jam 1 tengahari esok, sama ada diizinkan ataupun tidak, kita akan umumkan dalam satu sidang media jam 4 petang esok di ibu pejabat Pas.
"Kita buat keputusan terakhir di situ," katanya kepada pemberita di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Polis Negara bagi membincangkan kerjasama dan kawalan keselamatan sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

Mengulas lanjut, sehingga kini pihak penganjur masih belum menerima sebarang jawapan meskipun permohonan untuk menyewa stadium terbabit telah dikemukakan pada 26 Disember lalu.

Tegasnya, pemilihan stadium terbabit sebagai menyahut cadangan Perdana Menteri yang sebelum ini menawarkan dua stadium nasional sebagai lokasi perhimpunan kepada pembangkang.

"Kita harap Perdana Menteri akan menepati janjinya," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, hasil pertemuan 11 pimpinan Pakatan Rakyat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mencapai kata sepakat bahawa perhimpunan kali ini akan menjadi detik bersejarah apabila kedua-dua pihak berazam dan bekerjsama untuk memastikan perjalanan program mega itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang ketegangan.

Katanya juga pihak penganjur dan pasukan polis komited untuk mengguna pakai Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan akan memastikan semua pihak termasuk orang ramai dapat mematuhi dan menghormati akta baharu ini dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang hadir sama dalam pertemuan itu berkata pihak polis juga komited membantu pengamal media yang bertugas pada hari tersebut dengan menyediakan "marsyal" bagi memudahkan pergerakan mereka sekaligus mengelakkan wartawan menjadi mangsa keganasan sepertimana yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0 tahun lalu.

"Ketua Polis Negara berhasrat perhimpunan kali ini akan menjadi satu detik yang bersejarah untuk belajar daripada kelemahan dan kekurangan program-program terdahulu.

"Beliau berhasrat memberikan kerjasama terbaik bagi memastikan semua hak yang termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan itu dihormati," jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya lokasi perhimpunan itu berubah, pihaknya akan memaklumkan hal itu kepada pihak polis bagi memudahkan persiapan keselamatan dibuat.

"Jika tiada khabar dari Perbadanan Stadium Merdeka, jawatankuasa induk akan kembali bermesyuarat dan akan menentukan pelan B," katanya.

Dalam pada itu, aktivis politik, Hishamuddin Rais berkata, bagi memastikan keselamatan pengamal media bertugas terjamin, pihak polis akan mengeluarkan 'press tag' khas bagi membezakan antara wartawan dan peserta himpunan.

"Mengikut kata Tan Sri Ismail Omar, 'press tag' ini dikeluarkan oleh pihak polis untuk memperbaiki pengalaman yang lalu Bersih 3.0," katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pula berkata, pihak polis juga komited menyediakan satu 'hotline' kepada penganjur bagi mengatasi sebarang insiden yang tidak diingini dan dapat diatasi dengan segera.

"Ketua Polis Negara akan menyediakan satu hotline di kalangan pimpinan penganjur dengan pihak polis supaya apa-apa yang berlaku dapat ditangani dengan serta merta," katanya.

Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dikenali sebagai #KL112 menyasarkan sejuta penyertaan orang ramai di seluruh negara dan merupakan perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13  (PRU13) diadakan pada tahun ini.

Pihak penganjur mempertikaikan sikap mendiamkan diri yang ditunjukkan Merdeka Heritage Trust yang berdolak-dalik dalam memberikan kebenaran menggunakan Stadium Merdeka sebagai lokasi perhimpunan Sabtu ini.

Himpunan Kebangkitan Rakyat adalah program yang dianjurkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat dengan penglibatan beberapa NGO seperti Bersih 2.0, Anak, Gamis, Anti-Lynas, Muafakat dan Kase.

Sumber: Sinar Harian