Demi mencapai matlamat dan mengekalkan status negeri maju, nasib peniaga Melayu untuk mencari rezeki bagaikan dibiarkan terpinggir dek kerakusan pembangunan. Bukanlah kita mahu menolak pembangunan yang dilaksanakan namun kesan-kesan lain juga harus dititik beratkan dan demi menjaga "periuk nasi" peniaga terutamanya peniaga berbangsa Melayu.
Siapakah yang akan membela nasib peniaga Melayu sekiranya nasib mereka tidak dibela? Hari demi hari tanah orang Melayu diambil oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan dan adakah orang Melayu akan mendapat faedah hasil daripada pembangunan tersebut sebagai seorang peniaga? Mungkin pada mulanya ia hanya penyejuk hati dan lama-kelamaan akan lenyap dalam memori.
Cuba perhatikan kedai milik orang Melayu dan pembanguanan yang berada disekitarnya. Perbezaan yang paling ketara adalah bangunan-bangunan yang tinggi didirikan sehingga bertingkat-tingkat namun kedai peniaga hanya daripada kayu. Tidak sesuai diiktiraf negeri maju kerana yang nampak maju ialah bangunan dan bukannya kedai-kedai peniaga.
Sekiranya banyak bangunan yang dibina, tidak mustahil suatu hari nanti akan ada kedai yang akan bersaing dengan kedai orang Melayu yang sekali gus membantutkan punca pencarian rezeki. Contoh yang mudah, peniaga di kedai-kedai kopi mengekalkan ciri-ciri sebuah kedai kopi namun jika banyak kedai yang bertaraf restoran, tidak mustahil peniaga Melayu akan gulung tikar.
Ini kerana kehidupan hari ini lebih kepada keselesaan dan manusia mungkin tidak akan dapat melihat lagi kedai-kedai makan yang ada di tepi jalan seperti hari ini kerana semua menjadi mudah akibat tumbuhnya restoran-restoran yang bukan tulinnya daripada orang Melayu. Anak-anak pada generasi akan datang akan lihat ia sebagai kenangan tinggalan datuk dan nenek mereka.
Contoh peniaga Melayu di Taman Saujana Seksyen 2, peniaga-peniaga Melayu mencari rezeki ditepi jalan. Tetapi pembangunan yang dibina oleh pihak pemaju tidak sedikit pun mematahkan semangat peniaga untuk teruskan berniaga. Mana perginya pemimpin yang kononnya membela Melayu? Mengapa tidak disediakan tempat yang baik kepada peniaga? Pembangunan yang dikejar tetapi peniaga dipinggirkan.
Kemajuan yang dikejar tetapi pada masa yang sama nasib peniaga dibiarkan tanpa sebarang pembelaan dari pihak kerajaan. Sepatutnya kerajaan mengambil berat nasib peniaga yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Pembangunan yang selari dengan kehendak rakyat harus diutamakan dan bukannya pembangunan untuk memenuhi kantung poket pemimpin yang tidak berjiwa rakyat.