Saya memetik kenyataan sebuah akhbar mengenai "Gaji minimum tidak rugikan kerajaan, swasta". Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menjelaskan pelaksanaan gaji minimum sama ada di peringkat swasta atau Kerajaan Negeri tidak menjejaskan ekonomi atau merugikan sesebuah organisasi.
Apa yang diperkatakan oleh Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan bahawa perlaksanaan gaji minimum adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul majikan kerana ianya boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti sesebuah syarikat.
Mengikut perangkaan, terdapat 40 peratus pekerja di negara ini mendapat gaji bawah RM700, perkara ini berlaku bukan kerana syarikat tidak mendapat keuntungan, sebaliknya produktiviti secara keseluruhannya meningkat.
Saya juga menyokong tindakan MTUC ini kerana perlaksanaan gaji minimum sememangnya tidak akan menjejaskan ekonomi dan ianya perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab majikan terhadap pekerja. Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Negeri Selangor akan melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,500 bagi kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri, bermula 2012.
Sudah tiba masanya gaji minima RM1,500 ini dilaksanakan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan gaji di bawah RM700 itu boleh dikatakan di bawah garis kemiskinan. Tambahan pula harga barang sudah meningkat dari semasa ke semasa dan tidak selari dengan keadaan gaji yang diterima oleh pekerja hari ini.