Hj Mohd Said Bin Omar atau dikenali sebagai Pak Sheikh bekas calon DUN Serkam, veteran PAS Melaka meninggal dunia dan telah dikebumikan pada jam 9 pagi semalam di Kampung Serkam Darat.
Pak Sheikh pernah menyertai pilihan raya kecil di N.17 DUN Serkam pada tahun 14 Disember 1992 (sekarang N.26 Serkam) di Parlimen Jasin menentang calon dari Barisan Nasional iaitu Haji Mohd. Saleh Bin Hj. Md. Ali. Dalam Pilihan Raya Kecil tersebut Pak Sheikh tewas kepada calon Barisan Nasional dengan majoriti 3,808 atau dengan 40% yang keluar mengundi.
Pilihan Raya Kecil di DUN Serkam diadakan pada ketika itu ekoran kematian calon dari Barisan Nasional iaitu Ariffin Hj. Baba.
Statistik Pilihan Raya Kecil ketika itu dengan pengundi berdaftar ialah 13,631 orang dan yang keluar mengundi pada ketika itu adalah seramai 9,841 orang atau 72.20% yang membuang undi dengan 396 undi rosak atau 4.02 %.
Pada Pilihan Raya Kecil tersebut, Hj Mohd Said Bin Omar dari PAS mendapat 2,956 undi atau 31.30% manakala Haji Mohd. Saleh Bin Hj. Md. Ali. dari UMNO/BN mendapat 6,764 undi atau 71.61%.
Ketika hayatnya dalam PAS, Allahyarham pernah memegang jawatan selaku YDP Kawasan Jasin dan menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Serkam. Selain itu, pernah memegang jawatan sebagai imam Masjid Serkam sebelum menyertai pilihan raya dan dipecat menjadi imam selepas Allahyarham menjadi calon di DUN Serkam pada PRK 1992.