Bangunan ini terletak berdekatan dengan masjid Bukit Baru berdekatan lampu isyarat simpang tiga. Pada artikel sebelum ini telah dirungkai mengenai bangunan yang akan dirobohkan ini. Namun ia dilakukan sedikit demi sedikit. Selepas beberapa minggu, bangunan yang lain telah tersungkur menyembah bumi untuk didirkan bangunan baru di situ.
Sehingga ke hari ini, bangunan ini masih lagi teguh berdiri walaupun bangunan di sebelah dan belakangnya telah dirobohkan. Sepatutnya bangunan di kawasan tersebut perlu dirobohkan atas arahan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan tersebut dan yang menjadi persoalan sekarang mengapa ia tidak dirobohkan serta apakah kelebihan bangunan itu kepada kerajaan negeri?
Umum juga mengetahui bahawa bangunan tersebut perlu dirobohkan. Dikala bangunan lain telah ranap dimamah jentolak, bangunan istimewa ini seakan-akan dibiarkan dan mungkinkah kerana bangunan itu akan digunakan dalam pilihan raya ke-13 nanti? Bangunan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional ini tidak pun beroperasi tetapi 'kuasa' yang ada padanya terus gah berdiri.
Ini tidak adil kepada mereka yang dipaksa berpindah semata-mata ingin memenuhi kehendak kerajaan negeri supaya berpindah namun disebalik mereka dipaksa berpindah, ada bangunan yang dibiarkan tidak dirobohkan. Adakah pihak kerajaan Melaka bimbang sekiranya Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional ini dirobohkan, maka Barisan Nasional Melaka akan turut tumbang pada pilihan raya yang akan datang.
Keistimewaan itu juga menyerlahkan sikap talam dua muka kerajaan negeri terhadap rakyat. Rakyat terpaksa mengikut kehendak kerajaan namun kerajaan pada masa yang sama menjadikan parti itu milik kerajaan sedangkan parti dan kerajaan adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun Barisan Nasional tumbang, kerajaan tetap wujud dan yang tumbang ialah parti.
Senario kekeliruan ini telah ditanam dalam masyarakat sehinggakan ada yang mengatakan bahawa kalau Barisan Nasional tumbang, tiada kemajuan yang akan dikecapi. Kita ambil contoh di China, walaupun negara tersebut tidak diperintah oleh Barisan Nasional ia tetap maju dan berdaya saing dalam mengejar kemajuan. Tetapi lain di Malaysia, sikap berdaya saing ini telah disekat dan Barisan Nasional menganggap bahawa hanya mereka yang boleh beri kemajuan.
Jalan raya, lampu jalan, sekolah, kemudahan hospital dan sebagainya itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk membinanya. Ia bukan kebajikan tetapi keperluan untuk rakyat. Tetapi masyarakat ada yang tidak faham bahawa semua kemudahan itu diberikan oleh kerajaan dan bukannya Barisan Nasional. Ini yang menyebabkan rakyat sering keliru dan ditekan habis-habisan.
Kita harapkan kerajaan negeri telus dalam memberikan keadilan kepada rakyat dan tidak mengamal sikap talam dua muka. Hanya rakyat dapat menilai keikhlasan kerana kuasa penentu di tangan rakyat dan bukannya ditangan pemimpin Barisan Nasional.
Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab
Wawasan 1Malaysia iaitu kroni didahulukan, rakyat diabaikan.