KUALA LUMPUR, 23 JAN: Pakar Perlembagaan Persekutuan, Professor Dr Abdul Aziz Bari berkata, Akta Hasutan adalah antara sebab ramai kalangan ahli akademik takut menyuarakan pandangan selain karenah birokrasi pentadbiran universiti dan tekanan kerajaan UMNO-BN.
Katanya, biarpun kebebasan akademik boleh dikategorikan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan bersuara dan berekspresi, tetapi tidak ada jaminan perlindungan diberi kerana dikongkong akta itu sambil memberi contoh apa yang pernah berlaku terhadap dirinya.
“Selain itu kalau ada pensyarah atau pelajar yang berani, maka mereka akan dapat macam-macam, termasuk surat amaran, tak dapat research grant dan banyak lagi.
“Itu yang jadi masalah, kita tak dapat ruang untuk bercakap, bila bercakap dianggap subversif dan sebagainya. Akhirnya ditekan supaya meninggalkan universiti,” jelasnya.
Menurut beliau, sikap sebahagian ahli akademik negara ini juga boleh dipersoalkan kerana menganggap tugas pensyarah itu sekadar untuk “cari makan”.
“Majoriti universiti begitu kerana pensyarahnya penakut. Ahlii akademik pula sekadar duduk di universiti untuk nak ‘cari makan’ saja.
“Sebab itu mereka jadi malas, tak ada ilmu, tak buat kajian, tak ada idea dan jadi penakut. Jadi professor pun ada yang guna ‘kabel’. Maknanya daripada satu segi, orang akademik sendiri bersalah kerana membenarkan diri mereka jadi hamba, pencacai, barua dalam universiti,” tegas beliau.
Dr Aziz berkata, dalam keadaan regim sekarang yang semakin ganas dan menekan, ia memburukkan lagi keadaan persekitaran kampus di Malaysia.
“Kita tengok apa yang berlaku di UUM dan banyak lagi termasuk UiTM dan UIA sendiri, dalam kampus tu ada kumpulan tertentu yang kerjanya ‘Melayu, Melayu, Melayu, Melayu’ semua ada.
“Ada ‘budak’, ada pegawai yang kerjanyabrainwash pelajar di semua kampus. Mereka anggap itu hak mereka, tugas suci, inilah pegawai Biro Tata Negara (BTN) yang menganggap ini satu latihan ground untuk ahli muda dalam parti politik pemerintah yang datang kampus buat kacau terutamanya masa pilihan raya kampus.
Menurutnya, sepatutnya semua universiti di Malaysia mengamalkan kebebasan akademik supaya budaya ilmu subur dan dapat memberi manfaat kepada dunia luar.
“Sekarang ini kalau anda ke universiti, lihat ada pensyarah kerjanya recycle nota saja. Kadang-kadang nota pelajar pun diambil. Sebab tu dia tak boleh dengar benda lain. Kalau pelajar dia bagi benda lain contohnya dalam exam, dia tak boleh, yang dia tahu nota dia.
“Yang parahnya dia tak mahu dengar pendapat dan cadangan orang lain. Dia nak dengar cakap dia saja. Ini yang jadi masalah. Sebab tu universiti kita berada di bawah dalam ranking dunia,” katanya.-Roketkini.com
Sumber: Roketkini