KUALA LUMPUR 22 Disember: Mesyuarat Agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang bakal diadakan 27 Disember ini merupakan komplot menjadikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, berkata, ia turut melibatkan campur tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya tidak malu atau takut untuk nyatakan bahawa ini konspirasi didalangi mereka yang mempunyai pengaruh besar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menteri yang berkaitan dengan koperasi, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mohd Yusuf Shamsudin.
“Komplot itu mahukan Isa Samad jadi Pengerusi KPF. Ini salah guna kuasa yang besar daripada menteri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, semalam.
Kata beliau, jika mesyuarat yang dikendalikan sepenuhnya SKM berjaya dijalankan, bermakna KPF selaku pihak berkepentingan hanya sekadar peserta.
“Saya fikir ini satu kerja mengarut dan gila daripada mereka yang tidak bertamadun, tidak menghormati prosedur yang mereka pegang pada prinsip tersebut. Justeru itu, kita sudah buat laporan polis dan ia akan digunakan sebagai asas salah guna kuasa ini,” ujarnya.
Beliau juga kesal kerana SKM yang seharusnya membela koperasi dan memiliki 246,000 pencarum, turut terjebak dalam komplot berkenaan.
Sehubungan itu katanya, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum 27 Disember ini.