Pakatan Rakyat Negeri Melaka telah menghantar satu memorandum bagi mendesak Datuk Yusof bin Haji Jantan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka menjawab isu salahguna kuasa dan dana awam berhubung majlis perkahwinan anak Ketua Menteri Melaka baru-baru ini.
Memorandum itu turut memetik dokumen yang bertajuk "Minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk Persiapan Logistik, Keceriaan dan Kebersihan Sempena Majlis Perkahwinan Anakanda YAB Ketua Menteri" yang menyatakan Datuk Yusof bin Haji Jantan dalam perutusan pengerusi membuat ketetapan bahawa:
"...semua persiapan yang dikendalikan adalah diatas budi bicara jabatan tersebut serta tiada sebarang bil tuntutan kepada YAB Ketua Menteri atau Kerajaan Negeri"
Dalam memorandum tersebut turut dinyatakan bahawa dalam salinan dokumen berkenaan Datuk Yusof bin Haji Jantan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan 100 buah khemah; JKR menyediakan Gen-Set; Syarikat Air Melaka Berhad menguruskan kerja penyambungan paip air tambahan dan sinki; Angkatan Tentera Malaysia membantu kerja pembersihan; dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menyediakan aktiviti persembahan.
Sehubungan itu Pakatan Rakyat telah mengingatkan bahawa;
PKNM telah ditubuhkan dibawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka. Enakmen No.1 Tahun 1971 telah diberi peranan dan tugas utama iaitu Perindustrian, Perlancongan, Perumahan dan Perniagaan dan Perladangan" (Laman Rasmi PKNM).
Pakatan Rakyat Negeri Melaka mendesak Datuk Yusof bin Haji Jantan untuk menjawab berberapa persoalan, atas dasar apa PKNM menganjurkan majlis perkahwinan anak Ketua Menteri Melaka sedangkan misi utama PKNM adalah untuk membangunkan hartanah, penyediaan insfratruktur, binaan bangunan bagi menjana dan mengecapi kepesatan ekonomi NEGERI Melaka?
Persoalan kedua, Berapakah jumlah kos yang ditanggung oleh semua pihak masing-masing, memandangkan "semua persiapan yang dikendalikan adalah diatas budi bicara jabatan tersebut serta tiada sebarang bil tuntutan kepada YAB Ketua Menteri atau Kerajaan Negeri"
Pakatan Rakyat Negeri Melaka mendesak supaya Datuk Yusof bin Haji Jantan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PKNM dengan segera seandainya gagal menjawab persoalan-persoalan diatas.
Turut hadir menyerahkan memorandum tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka, Kamaruddin Sidek, Hairiz Nordin, Ketua Penerangan PKR Melaka dan juga Dr. Wong Fort Pim Pengerusi DAP Cawangan Sri Siantan Bukit Baru.