Setiap rumah di karyah Bukit Baru telah mendapat satu surat bagi mengutip derma sebanyak RM200 setiap rumah bagi membina masjid baru.
Bayaran ini katanya bertujuan agar ahli karyah turut mendapat pahala bagi saham wakaf tersebut dan akan dipungut oleh ahli jawatan kuasa lembaga masjid.
Ada penduduk disini mengadu tentang jumlah yang tetap sebegitu yang perlu didermakan, bagi yang mampu dan bergaji besar, RM200 ini senang untuk dibayar dan hanya berapa peratus dari gaji mereka, manakala bagi yang kurang mampu dan berpendapatan rendah, ianya melibatkan jumlah yang agak besar.
Lagipun soal sedekah ini soal keikhlasan, bukan soal banyak atau sedikit.
Walaupun UMNO sering mengutuk Kelantan yang kononnya memungut derma untuk membina lebuhraya raya rakyat, tidak pernah pula kita dengar mereka dipaksa dengan jumlah tertentu.
Dua hari lepas Melaka Hari Ini Melaporkan kerajaan negeri telah membelanjakan RM74 Juta untuk membantu rakyat Melaka, apa salahnya menambah sedikit lagi jumlah untuk menampung pembinaan masjid Bukit Baru ini.
Baru-baru ini juga Ketua Menteri telah mengishtiharkan bajet lebihan, apalah salahnya jika lebihan itu digunakan untuk menampung pembinaan masjid Bukit Baru ini.
Kisah Imam Nawawi ini seharusnya dijadikan pedoman bilamana al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).