ALOR GAJAH - Sebuah kilang pembuatan dan penyimpanan perkakasan ekzos kenderaan musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Kelemak, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira 3 pagi itu disedari dua pekerja kilang bertentangan, Khairul Qayyum Sulaiman, 26, serta rakannya, Mohd Azri Taha, 31, yang keluar berehat sebelum menyedari terdapat api dari kilang berkenaan.
Mohd Azri dikatakan terlihat percikan api kecil berserta asap dari bahagian belakang kilang berkenaan sebelum memaklumkan kepada penyelianya, Bejan, 36, yang ketika itu berada di dalam kilang.
Menurut Bejan, ketika itu api sudah marak menjadikan keadaan sekeliling bahang, menyebabkan dia terus menjerit ke arah kilang terbabit bimbang ada pekerja di dalam.
“Kami berlari ke arah kilang itu dan menjerit sekuat hati meminta semua pekerja yang ada keluar. Namun, selepas diperhati, tiada pekerja di dalam kilang pada waktu malam kerana beroperasi pada waktu pejabat.
“Dalam keadaan kelam kabut, lebih sepuluh letupan dari dalam kilang berkenaan, diiringi bunyi perkakasan dalam kilang itu yang terbakar," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Penguasa R. Bajiyen berkata, enam jentera membabitkan 35 anggota dari Balai Bomba Jalan Kubu, Balai Bomba
Tangga Batu dan Balai Bomba Alor Gajah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Operasi turut menggunakan khidmat jentera Ten Table Ladder (TTL) untuk memadam api dari atas,” katanya.
Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kilang berhampiran kira-kira 4.45 pagi dengan menggunakan buih sabun.
Ini kerana, katanya, terdapat campuran getah dan minyak dalam kilang berkenaan.
"Bagaimanapun, punca kejadian dan anggaran kerugian, masih dalam siasatan," katanya.
S/H