Pages

Saturday, 31 March 2012

Keadaan Parit yang Kotor dan Berbau Busuk di Merlimau


Beginilah keadaan parit dan berhampiran pekan Merlimau yang kotor dan berbau busuk sejak sekian lama tidak diselenggara. Keadaan ini lebih lagi meloyakan sekiranya keadaan kemarau pasti baunya sangat meloyakan.

Kedudukan parit ini berada dibelakang pekan Merlimau behampiran balai bomba Merlimau dan sebuah sekolah.

Parit ini melalui beberapa buah rumah disekitarnya. Airnya sangat hitam dan berbau busuk, selain mengalir perlahan seolah2 bertakung disitu.

Selain itu sampah sarap juga kelihatan tersangkut sana sini.

Kawasan ini termasuk dalam kawasan pilihanraya kecil Merlimau pada bulan Mac tahun lepas.

Thursday, 29 March 2012

Replika Jam Pokok Bunga berharga Hampir RM500,000 telah Rosak


Replika jam pokok bunga yang terletak di dataran MBMB, berhampiran bangunan Graha Makmur, Ayer Keroh ini telah rosak sejak seminggu lalu tanpa dibaiki.

Jam yang berharga hampir RM500,000 ini sejak dari permulaan pembinaannya lagi telah menjadi pertikaian daripada pihak pembangkang di negeri Melaka ini.

Selain daripada membazir, kos pembinaannya sangat tidak munasabah seperti yang dibangkitkan oleh Bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka yang lalu, Mejar (B) Jasme Tompang.


Setelah setahun sejak pertikaian tersebut jam tersebut hari ini telahpun rosak.

Tinjauan pada hari Selasa lalu (27/03/2012) yang lalu jam tersebut masih lagi dalam keadaan rosak dan tidak diperbaiki.

Begitu mudah sekali Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam membazirkan duit rakyat. Janganlah nanti keluar kenyataan yang mengatakan kerajaan negeri akan melantik konsultant yang akan memperbaiki jam tersebut seperti yang terjadi kepada replika kincir air.

Berapa pula kos untuk memperbaiki replika jam yang telah rosak ini?

Wednesday, 28 March 2012

Lori Sawit Terbalik


Sebuah lori yang membawa muatan sarat dengan kelapa sawit telah terbalik di simpang berhampiran empangan Durian Tunggal dipercayai brek tidak berfungsi dengan baik pada pukul 10 pagi semalam.

Lori tersebut gagal dikawal apabila breknya gagal berfungsi dengan baik.

Akibat daripada itu, jalan disitu agak sibuk dengan kenderaan-kenderaan berat bagi kerja memindahkan kelapa sawit dan membersihkan kawasan tersebut.

Walaubagaimanapun pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.


Tuesday, 27 March 2012

Bulatan Yang Bujur

 Bulatan Ayer Molek Melaka ini agak pelik dan mengelirukan pengguna jalan raya, dengan sifatnya yang bujur dan bukannya bulat seperti bulatan-bulatan lain yang terdapat di Negeri Melaka ini.

Selain itu, jalan keluar dari bulatan ini agak mengelirukan orang ramai dan berisiko untuk kemalangan.

Bulatan ini siap dibina pada tahun 2009 ini menelan belanja RM1.2 juta dan selepas pembukaannya kemalangan kerap berlaku disini seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar.



Sunday, 25 March 2012

Warga Emas Lumpuh Berhajat Jumpa Ketua Menteri

Seorang warga emas Muhammad bin Che Su, melahirkan hajat beliau untuk bertemu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi mengadu kesusahan yang beliau hadapi.

Namun begitu, menurut beliau setelah beberapa kali menghubungi pihak wakil Ketua Menteri, temu janji tersebut dipinda beberapa kali sehingga jam 3 pagi.

Beliau yang menetap di Bukit Pulau dalam Dun Bukit Baru mengidap lumpuh dan sukar untuk bergerak akhirnya berputus asa setelah beberapa kali ditunda masa temujanji tersebut.

Isteri beliau juga lumpuh dan hanya terlantar diatas kerusi roda.

Friday, 23 March 2012

Bilakah Mahu Siap Pejabat Pos Ini?




Walaupun sudah dua hari tempoh siap telah tamat, namun Pejabat Pos Besar Melaka masih lagi dalam pembinaan dan apakah alasan yang diberikan selepas ini? Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan dalam hal ini sedangkan kita mengetahui bahawa pejabat pos itu menjadi tumpuan utama rakyat untuk sebarang urusan berkaiatan dengan pejabat pos.

Kerja-kerja pembaikan masih lagi dijalankan sehingga ke hari ini dan apakah punca berlaku kelewatan dari tarikh yang sebenarnya? Pejabat pos ini bukan sebuah rumah yang perlu disiapkan dengan mengambil masa yang lama seperti projek perumahan. Ia cuma kaedah pembaikan sahaja dan tempoh yang ditetapkan juga hanyalah dua bulan sahaja.

Jika tempohnya singkat, maka pembaikan itu boleh dicepatkan seperti tarikh yang ditetapkan seperti dalam gambar di atas. Mungkin masalah kewangan yang merencatkan penyiapan pembaikan kerja-kerja pengubahsuaian ini. Harap pihak yang bertanggungjawab kendalikan dengan baik.

Thursday, 22 March 2012

Bendera BN Bahayakan Pengguna Jalan Raya dan Kotorkan Persekitaran


Selain membahayakan pengguna jalan raya, bendera Barisan Nasional yang digantung papan-papan tanda di persimpangan Taman Maju , Jasin ianya juga mengotorkan keadaan persekitaran.

Bendera yang jatuh ketanah dibiarkan begitu sahaja diatas jalan bersama tiang-tiang kayunya. Ini jelas membahayakan pengguna jalan raya terutamanya motosikal.

Keadaan bendera tersebut yang bersepah-sepah sangat menjelekkan. Bendera tersebut di pasang bagi menyambut Timbalan Perdana Menteri yang berkunjung ke Melaka.

Terdapat satu tiang bendera yang tidak diikat dengan kemas terjulur kearah jalan dan boleh mencederakan pengguna jalan raya jika tidak berhati-hati.

Di manakah pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab menjaga persekitaran supaya ianya selamat dan bersih.

Janganlah kerana hendak membodek Timbalan Perdana Menteri sampah yang diberi kepada rakyat.

Wednesday, 21 March 2012

Ziarah Bekas Pengerusi JKKK Lumpuh Sejak 8 Tahun Lalu


Isnin lepas satu ziarah singkat bersama bekas calon Dun Asahan, Tuan Haji Amdan Sudin bersama Timbalan Peneragan Pas Melaka, Yusof Wahab telah melawat bekas pengerusi JKKK berdekatan Bukit Senggeh.

Bekas pengerusi JKKK tersebut, Abdul Ghani bin Bachik, 84, terlantar sakit lumpuh di rumahnya sejak 8 tahun lalu.

Beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi JKKK kampungnya selama 38 tahun, bermula tahun 1960-1998, satu masa yang agak lama.

Bila ditanya adakah adakah orang UMNO yang lain yang datang melawat sejak beliau sakit, beliau dengan berbaik sangka menjawab mungkin orang UMNO yang lain tidak tahu. Lagipun menurut beliau, beliau tidak menceritakan penyakit beliau kepada orang-orang UMNO yang lain.

Menurut Tuan Haji Amdan Sudin, pihaknya akan mengantar pasukan medik bagi memeriksa dan merawat bekas pengerusi JKKK itu.

Beliau juga dahulunya pernah menjadi penaja UMNO Bukit Senggeh Barat dan pernah menjadi pengerusinya.

Monday, 19 March 2012

Sungai Kiambang, Aliran Tersekat


Sungai Duyong ibarat menjadi medan tumbuhan kiambang membiak dengan begitu cepat sekali. Pertumbuhan kiambang ini akan menjejaskan kehidupan di dalam sungai itu sendiri. Bukan di Sungai Duyong ini sahaja malahan banyak lagi sungai yang tidak diberi perhatian oleh pihak Jabatan Pengairan dan Salitran (JPS) terhadap sungai ini.


Keadaan sungai yang telah ditumbuhi tumbuhan kiambang menyebabkan laluan air tersekat. Air dari longkang kecil juga tersekat dan sebaliknya telah berlaku apabila air sungai mengalir masuk ke sungai kecil yang sebelahnya.

Diharapkan pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Salitran (JPS) bertindak dengan pantas menangani masalah ini bagi mengelakkan keadaan aliran air menjadi perlahan serta sampah boleh terkumpul akibat tumbuhan kiambang yang banyak ini. Keadaan ekosistem mungkin juga terjejas akibat tumbuhan kiambang ini.






Menyantuni Golongan Kurang Bernasib Baik di sekitar Dun Bukit Baru


Baru-baru ini Penyelia Dun Bukit Baru menyantuni anak-anak yatim, saudara baru yang lumpuh, dan warga emas yang lumpuh di sekitar Dun Bukit Baru.

Dalam pada itu, bantuan zakat sumbangan orang ramai juga telah disampaikan sebagai menyempurnakan amanah pemberi zakat untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Semua keluarga yang ditemui meluahkan rasa terima kasih mereka atas bantuan yang disampaikan.

Muhammad bin Che Su, seorang warga emas yang ditemui menyatakan hasratnya mahu berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka bagi mengadu nasib. Menurut beliau ada satu ketika ianya ditangguh dan ditangguh oleh wakil Ketua Menteri sehingga sehingga jam 3 pagi namum masih belum dapat berjumpa. (video akan menyusul).

Dalam keadaan kita hidup bergembira, masih terdapat insan-insan yang perlu kita santuni dan meringankan beban hidup mereka yang serba kekurangan.


Begitulah resam hidup, yang miskin dibantu, yang bertongkat dipapah, yang lumpuh disorong, yang sakit diziarah...

Friday, 16 March 2012

Negeri Melaka Negeriku Maju, Tiang Lampu di Tengah Jalan..

Gambar ini diambil di Bukit Baru berhampiran dengan medan selera Bukit Baru. Mungkin satu-satunya tarikan perlancongan yang menarik bagi negeri Melaka ini yang tidak terdapat di negeri lain.

Tiang lampu terletak di tengah-tengah jalan ini sangat "unik" dan mampu dijadikan tarikan pelancongan baru ke kawasan Bukit Baru ini.

Agak sukar untuk melihat produk pelancongan unik seperti ini di Negeri Melaka ini.

Munginkah ianya dikekalkan sebegitu rupa supaya keunikan dan kepelikan dapat dihayati oleh penduduk kampung dan pelancong-pelancong yang datang ke Melaka kerana kawasannya sangat strategik.

Thursday, 15 March 2012

Takziah: Isteri Bekas TPJ PAS Melaka Meninggal Dunia


PAS Melaka hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Hj Abdul Halim B Hj Ramli yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka atas pemergian isterinya, Dr Rosnah ke rahmatullah pada jam 3.00 pagi tadi akibat kanser.

Sekarang jenazah masih di rumah mereka dan akan dikebumikan jam 10.30 pagi ini di Bertam Malim. Berita lain akan menyusul beserta gambar dan video.

Dr Hj Abdul Halim B Hj Ramli merupakan bekas calon PAS yang juga seorang doktor telah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999 dan Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Pada tahun 1999, beliau bertanding di N.24 DUN Serkam menentang calon daripada Barisan Nasional iaitu Ahmad Bin Hamzah dan pada tahun 2004 pula beliau bertanding menentang calon Barisan Nasional iaitu Datuk Wira Amid Bin Nordin dan kali ini di N.23 DUN Telok Mas.

Sumber: PAS Melaka

Wednesday, 14 March 2012

BN Melaka adalah parti yang paling jahil tentang Tata Negara?

Barisan Nasional Bukit Baru sekali lagi telah membuat kontroversi berkenaan bendera parti mereka yang digantung pada balai raya milik orang ramai.

Sekali lagi bertempat di Bukit Pulau, Dun Bukit Baru, BN disini kelihatan ingin meng-hakmilik-kan balai raya kegunaan orang ramai untuk kegunaan parti mereka.

Bendera BN meriah digantungkan disana seolah-olah balai raya tersebut dibina dengan memungut derma dari ahli-ahli bersekutu mereka. Malahan yang lebih mengecewakan bendera Malaysia langsung tidak dipasang.


Apakah balai raya tersebut telah menjadi cawangan khas mereka dikawasan tersebut. Miskin sangatkah BN Bukit Pulau ini sehingga terpaksa merempat di balai raya yang kita tahu ianya dibina dengan menggunakan duit pembayar cukai.

Kalau BN telah membeli balai raya tersebut, atau dibina dengan memungut derma dari ahli bersekutu mereka kita tidak kisah.

Apakah setelah 54 tahun memerintah, BN masih tidak faham-faham yang mana satu harta kerajaan dan yang mana satu harta parti mereka.

Harta kerajaan untuk digunakan oleh orang ramai menggunakan duit pembayar cukai, manakala harta parti dibina dengan memungut derma dari ahli parti mereka sahaja.

Pembayar cukai ini terdiri daripada rakyat tanpa mengira latar belakang parti politik, amatlah janggal sekali jika ianya hanya boleh digunakan oleh Barisan Nasional sahaja. Jadi, kalau BN berminat sangat belilah bangunan balai raya tersebut.


Tuesday, 13 March 2012

Rumah Banjir Setiap Kali Hujan


Setiap kali hujan rumahnya dinaiki air sehingga kedalam rumahnya yang beralamat di Batu Tiga, Pasir Puteh Bachang akibat tiada saliran air.

Air hujan melimpah kerana tiada longkang berhampiran rumahnya bagi melalukan air hujan. Beliau mendakwa perkara tersebut telah dimaklumkan kepada ketua kampung sejak lama dahulu.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat menyediakan longkang bagi menyalurkan air hujan sekaligus menyelesaikan masalah beliau secepat mungkin.

Monday, 12 March 2012

Apa Fungsi Jabatan Pengairan dan Saliran Sebenarnya?


Melaka telah mencapai piawaian negeri maju pada tahun 2010 seperti yang diperkatakan oleh Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam. Namun, jika aspek pembangunan sahaja diambil kira sebagai kemajuan malang sekali bagi rakyat yang hanya tinggal di kampung tidak mendapat pembangunan yang secukupnya dari kerajaan yang memerintah.

Di sini kita bukan menafikan pembangunan itu sendiri tetapi keadaan yang tidak seimbang juga boleh menyebabkan kemajuan itu terbantut. Seperti keadaan di sebuah kampung di DUN Bachang, keadaan longkang tidak diselenggara dengan baik oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu sendiri. Longkang tersebut dipenuhi dengan rumput dan pokok kiambang.

Keadaan seperti ini boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk sekiranya aliran air tidak diuruskan dengan betul. Nyamuk boleh membiak dalam keadaan air bertakung sekaligus mengundang penyakit yang tidak diingini. Pencegahan itu lebih baik daripada merawat. Diharapkan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tugas dengan sebaiknya supaya kesihatan penduduk terjaga.

Friday, 9 March 2012

Papan Tanda Siap Tapi Jalan Belum Siap


Projek di Melaka kebanyakan projek siap papan tanda lebih diutamakan berbanding keadaan projek sebenar yang ingin dilaksanakan. Itulah yang berlaku di "Melaka Maju Negeriku sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau". Banyak projek-projek indah papan tanda dari rupa paras projek. Apa yang dimaksudkan adalah tarikh papan tanda sudah siap tetapi tarikh projek bila mahu siap?

Mungkin ada dikalangan pihak kerajaan akan menjawab "Biasalah projek, nak siap ikut masa mana boleh" atau "kelambatan projek siap adalah faktor kontraktor ataupun material mahal" dan macam-macam lagi alasan yang mungkin diberikan demi melepaskan diri dari dikritik oleh rakyat. Semenjak akhir-akhir ini, projek yang dibuat tidak lagi meletakkan papan tanda seperti sediakala. Adakah akan berlaku siap papan tanda berbanding projek?


Mengikut tarikh pada gambar di atas, tarikh projek sepatutnya siap pada 1 Mac 2012 namun sehingga semalam ia masih lagi seperti gambar di bawah. Kerja-kerja masih dijalankan. Kerja-kerja menaik taraf tersebut menghubungkan jalan utama dari persimpangan Jalan Bukit Beruang, Jalan Tun Razak Ayer Keroh ke persimpangan Bukit Bayan dan persimpangan Bukit Katil Duyung.



Bukanlah kita mempertikaikan pembangunan sebaliknya jika ia memudaratkan rakyat, lebih baik tidak diteruskan. Lagi lama projek untuk disiapkan, maka makin banyaklah peruntukkan yang digunakan bagi menyiapkan projek tersebut. Semoga projek di atas dapat disiapkan bagi keselesaan pengguna jalan raya.

Kisah Adik Afiq yang Tidak Punyai Pengenalan Diri

Seorang remaja yang tidak mempunyai kad pengenalan walaupun telah berusia 14 tahun. Beliau tidak dapat bersekolah kerana tidak mempunyai pengenalan diri termasuk surat beranak.

Diharapkan Jabatan Pendaftaran Negeri Melaka dapat turun padang menyesaikan kes tersebut.

Jika Jabatan Pendaftaran Negeri Melaka boleh turun padang masuk ke kampus-kampus sekitar Negeri Melaka untuk memperbaharui kad pengenalan pelajar-pelajar universiti seperti yang dilaporkan oleh Blogger Kijang, kenapa mereka tidak boleh turun padang untuk menyelasaikan kes anak ini?

Mohon penjelasan daripada Jabatan Pendaftaran Negeri Melaka.

Thursday, 8 March 2012

Rumah Warisan Lubuk China Melaka


Jika dilihat pada papan tanda ini rumah warisan ini telah dikonsevasi oleh Muzium Negeri Melaka dan diwartakan sebagai Rumah Warisan yang terletak di Lubuk China, Melaka.

Ketika menyelurusi laluan tersebut saya perhatikan keadaan rumah tersebut terbiar begitu sahaja, dipenuhi semak-samun seolah-olah tidak dikonvervasi dengan betul.

Papan tanda juga telah berlumut dan pintu pagar dipenuhi pokok-pokok liar yang menjalar.

Tentunya Muzium Negeri Melaka telah mengeluarkan perbelanjaan untuk mengkonservasi rumah ini. Rumah ini mempunyai ciri-ciri rumah melayu asli Melaka. 

Usaha untuk mengkonservasi rumah sebegini adalah satu usaha yang bagus, cumanya ia perlu sentiasa diselenggara dengan baik bagi menarik pengunjung dalam ataupun luar negeri.

Wednesday, 7 March 2012

Hang Tuah dan Makamnya?


Baru-baru ini kita digemparkan oleh kenyataan terbuka Professor Khoo Kay Kim seperti yang dipetik oleh Malaysikini sebagai berkata tiada rekod Lakmana Hang Tuah, Hang Jebat dan Putri Hang Li Po benar-benar wujud seperti yang disiarkan oleh The Star.

Sejarah yang kita baca juga menceritakan Hang Tuah telah ghaib setelah gagal meminang Putri Gunung Ledang, tetapi hari ini kita boleh melihat makamnya terdapat di Tanjung Keling Melaka.

Benarkah makam yang dipagarkan dan dibina khas disitu memang milik Hang Tuah?

Apa yang menggemparkan seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali telah memberitahu makam tersebut kepunyaan seorang india muslim yang telah lama berada disitu.

Cuma sekarang tiba-tiba menjadi makam Hang Tuah.

Menurut beliau lagi "masyarakat disitu percaya tempat tersebut mempunyai keramat, benar atau tidak hanya Allah yang mengetahui. Sebagai orang Islam kita hanya wajib menyakini hanya Allah yang Maha Kuasa semata-mata."

Begitulah dakwaan penduduk setempat disitu tentang kewujudan makam tersebut. Ditambah pula memang kita maklum sejarah yang diberitahu kepada kita bahawa Hang Tuah telah ghaib dan tidak berkubur. Tetapi hari ini ianya dibina dan dihias dengan kenyataan-kenyataan bergambar menunjukkan ianya makam Hang Tuah.

Seharusnya pengkaji sejarah Melaka harus bangkit menjelaskan kepada masyarakat bagi menjelaskan duduk-bangun perkara yang sebenar. Kita tidak mahu supaya sejarah kita dipermainkan diubah dengan sewenang-wenangnya sehingga kita seolah-olah kehilangan jati diri dan teraba-raba mencari bahan untuk sekadar dijadikan produk perlancongan.

Monday, 5 March 2012

Ambil Tanah Tapi Tidak Bagi Pampasan - Bah 2


Tanah sekarang sudah menjadi milik perumahan Vista Kirana yang telah siap fasa satu. Inilah gambaran tanah asal dari ladang getah dan sekarang telah menjadi perumahan yang diduduki oleh sesiapa sahaja termasuk rakyat dari Singapura.

Di sini ialah video bahagian pertama [link]

Ambil Tanah Tapi Tidak Bagi Pampasan


Tanah sememangnya menjadi isu besar di Melaka terutamanya berkaitan tanah milik orang Melayu. Dilema orang Melayu adalah tanah milik mereka diambil dengan harga murah bagi setiap kaki tetapi jual oleh kerajaan dengan harga yang paling tinggi. Itulah realiti yang berlaku di Melaka sebuah negeri maju 2010.

Harga tanah yang begitu tinggi nilainya hanya dibayar setengah harga atau tidak dibayar langsung. Ada kes fail atau dalam dokumen berkaitan tanah boleh hilang dalam simpanan mahkamah. Itu agak pelik dan kenapa dalam simpanan boleh hilang? Adakah peranan orang dalam memainkan peranan penting dalam menghapuskan bahan bukti?

Bukan itu sahaja, peguam juga disogok dengan nilai RM1juta semat-mata tidak mahu kes itu menang. Akhirnya pemilik tanah tewas dalam perbicaraan akibat rasuah yang diterima oleh pihak peguam. Begitu parah dan tenat negara Malaysia ini sekiranya lanun memerintah negara.