Pages

Wednesday, 30 November 2011

Sewa Menara Taming Sari Tertunggak



Projek Menara Taming Sari telah dimulakan pada 29 Januari 2007 dan disiapkan pada 6 Disember 2007 dengan kos RM26.3 juta. Kerajaan Negeri telah meluluskan pinjaman kepada Kumpulan Melaka Berhad (KMB) berjumlah RM23.4 juta pada tahun 2007 dan 2008 bagi membangunkan  Menara Taming Sari.

Menurut laporan audit 2010, Mesyuarat Lembaga Pengarah KMB pada 8 April 2008 memutuskan untuk menyewakan premis Menara Taming Sari kepada anak syarikat milik penuh KMB iaitu Melaka Taming Sari Berhad (MTSB). Penyewaan ini termasuk pengurusan operasi menara dan penyewaan ruang perniagaan mulai 1 Julai 2008 selama 10 tahun dengan kadar RM0.35 juta sebulan.

Berdasarkan semakan Audit terhadap pengurusan penyewaan Menara Taming Sari mendapati sewa yang sepatutnya diterima sehingga bulan Jun 2010 adalah berjumlah RM8.40 juta. Bagaimanapun sewa yang telah diterima hanya RM4.72 juta manakala RM3.68 juta masih tertunggak.

Mengikut perjanjian, KMB perlu menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM7.50 juta mulai Januari 2009. Bagaimanapun sehingga Jun 2010, KMB  hanya menjelaskan bayaran balik pinjaman berjumlah RM2.30 juta dan baki tunggakan berjumlah RM5.20 juta masih belum dijelaskan walaupun KMB telah menerima hasil sewa RM4.72 juta daripada Melaka Taming Sari Berhad (MTSB).

Berapa lama lagikah masa yang perlu diambil oleh Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) menjelaskan bayaran sewa? Dikala rakyat Melaka dihimpit dengan bebanan kos yang terlalu tinggi, kerajaan negeri pula sibuk mengejar pembangunan sehinggakan terabai kepentingan rakyat. Bukan kita menolak pembangunan sebaliknya selesaikan dahulu masalah rakyat supaya kebajikan rakyat selari dengan pembangunan yang ada.

Ia boleh diibaratkan pembangunan itu seperti sebuah kereta dan rakyat itu sebagai jalannya. Sebuah kereta itu berharga ratusan ribu ribu ringgit namun tidak dapat bergerak di atas jalan yang rata kerana berlubang. Kesimpulannya, kebajikan dan pembangunan biarlah selari agar rakyat dapat menikmati pembangunan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Pembangunan yang dilaksanakan melebihkan pelancong dari rakyat sendiri.


Tuesday, 29 November 2011

Berapa Ramai Lagi yang Mahu Dipecat!!!


Kejadian imam dipecat di Melaka selama ini tidak diketahui ramai. Kejadian yang hendak diceritakan ini berlaku di Masjid Duyong atau sekarang dikenali sebagai Masjid Laksamana Hang Tuah.

Imam 1, Tuan Haji Mat Nor Wahab telah diarahkan pecat telah dituduh sebagai mirip kepada Parti PAS.

Sehubungan itu Imam 2, Tuan Haji Adam Awang telah dinaikkan menjadi imam 1, manakala tempat imam 2 dibiarkan kosong.

Tidak berapa lama dahulu, ketika hari jumaat, solat jumaat telah lambat akibat imam yang yang baru dilantik lambat tiba ke masjid. Imam yang baru dilantik menjadi imam 1 tidak sampai-sampai sehinggalah pukul 2 petang.

Bekas Imam, Tuan Haji Mat Nor dipujuk sebanyak 3 kali untuk memabaca khutbah tetapi beliau enggan kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk membaca khutbah.

Ketika hampir pukul 2 barulah imam yang baru dilantik tersebut sampai, alasan yang diberi ialah teksi beliau rosak dan selepas dibaiki cepat-cepat beliau datang ke masjid.

Para penduduk yang marah telah memaki hamun Pengerusi JKKK dan Pengerusi Masjid kerana memecat Tuan Haji Mat Nor.

Ini berikutan arahan orang atas supaya memecat imam haji Mat Nor.

Sebelum ini telah banyak imam-imam telah dipecat kerana dituduh cenderung kepada PAS seperti Haji Bakrin, Imam Masjid Bukit Katil, Haji Rakhli, Masjid Kg. Tun Razak, Haji Mat Nor dan Haji Ridwan masjid Duyong, Haji Ali Masjid Sungai Putat, Haji Hussain imam Tengkera.

Monday, 28 November 2011

Gaji Minimun RM1,500 Tidak Rugikan Kerajaan Negeri atau Syarikat


Saya memetik kenyataan sebuah akhbar mengenai "Gaji minimum tidak rugikan kerajaan, swasta". Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menjelaskan pelaksanaan gaji minimum sama ada di peringkat swasta atau Kerajaan Negeri tidak menjejaskan ekonomi atau merugikan sesebuah organisasi.

Apa yang diperkatakan oleh Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan bahawa  perlaksanaan gaji minimum adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul majikan kerana ianya boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti sesebuah syarikat.

Mengikut perangkaan, terdapat 40 peratus pekerja di negara ini mendapat gaji bawah RM700, perkara ini berlaku bukan kerana syarikat tidak mendapat keuntungan, sebaliknya produktiviti secara keseluruhannya meningkat.

Saya juga menyokong tindakan MTUC ini kerana perlaksanaan gaji minimum sememangnya tidak akan menjejaskan ekonomi dan ianya perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab majikan terhadap pekerja. Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Negeri Selangor akan melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,500 bagi kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri, bermula 2012.

Sudah tiba masanya gaji minima RM1,500 ini dilaksanakan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan gaji di bawah RM700 itu boleh dikatakan di bawah garis kemiskinan. Tambahan pula harga barang sudah meningkat dari semasa ke semasa dan tidak selari dengan keadaan gaji yang diterima oleh pekerja hari ini.

Saturday, 26 November 2011

Kelebihan Bulan Muharram


1. Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalendar hijriah.

2. Bulan Muharram adalah salah satu dari pada bulan-bulan Haram.

Allah berfirman, ”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)

Nabi saw. bersabda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Umat Islam dilarang berperang dan berbunuhan dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Larangan untuk melakukan maksiat adalah lebih keras dibanding bulan-bulan lain.

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)

Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM .

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasa yang paling utama sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa di bulan Muharram". (HR Muslim no. 1163)

Friday, 25 November 2011

Nelayan Berang, Jeti Yang Dipindahkan oleh Kerajaan Negeri Tohor



Hampir 30 nelayan di Muara Sungai Duyong tertekan dan berang apabila muara sungai yang cetek tidak diselenggara dengan baik sehingga menyukarkan bot-bot mereka keluar masuk.


Nelayan yang sebelum ini berpengkalan di Muara Sungai Melaka dipindahkan oleh Kerajaan Negeri Melaka ke sini kerana memberi laluan kepada sektor perlancongan.

Muara yang cetek kira-kira hanya sedalam 0.3 meter sering menyebabkan kipas enjin bot ataupun dipanggil propeller sering patah.

Kerugian yang ditanggung oleh mereka untuk membaiki kerosakan tersebut dianggarkan sekitar RM1500 hingga RM3000.


Merujuk kepada kerosakan yang berlaku, seorang daripada nelayan tersebut mengatakan beliau sudah mengadu kepada pihak berkuasa, namun pampasan belum diterima, malahan kerosakan sebelum ini yang terjadi pun belum dibayar pampasannya.


Keadaan ini menjejaskan pendapatan golongan nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

Untuk mengatasi masalah ini, nelayan meminta supaya kontaktor yang dilantik oleh agensi kerajaan supaya lebih serius menggali sungai dan bukannya bertindak sambil lewa.

Menurut mereka, syarikat yang dilantik bersikap sambil lewa dan hanya melepaskan batuk ditangga.

Menurut nelayan lagi, lebih kurang tiga hingga empat tahun kontraktor dilantik berada disitu, namun tiada apa-apa kesan positif.

Mereka juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Melaka supaya menyediakan satu pasar borong disitu supaya para nelayan mendapat harga yang lebih baik.

Thursday, 24 November 2011

Lagi Nasib Peniaga Melayu di Bumi Hang Tuah.


“Hidup segan, mati tak mahu” itulah yang boleh dikatakan berkenaan nasib-nasib peniaga di Medan Selera berhampiran Pantai Klebang akibat daripada kerja-kerja penambakan laut yang dilakukan oleh pemaju.

Peniaga disini semakin tertekan apabila tiada usaha daripada kerajaan Negeri Melaka bagi membantu nasib peniaga-peniaga disini. Pendapatan merosot sehingga 70% akibat pengungjung enggan lagi datang kesitu kerana panorama laut sudah lenyap dan hanya tinggal pasir sejauh 500 meter berbanding sebelum ini jarak gerai dengan laut kurang dari 50 meter.


Daripada 13 gerai yang terdapat disitu hanya dua gerai yang beroperasi secara tetap, satu kedai dibuka kadang-kadang manakala yang lain terus gulung tikar.

Noraini binti Awang Ali, 36, peniaga masakan panas, berkata “sejak penambakan laut, pelanggan terus berkurangan, peniaga juga berkurangan”.


Keadaan medan selera yang kusam dan berhabuk memburukkan lagi keadaan.  

 Amat mengecewakan bilamana pembangunan dilakukan, rakyat khasnya peniaga-peniaga melayu  terpaksa menerima kesan dan akhirnya  gulung tikar. Tindakan kerajaan negeri meluluskan kerja-kerja penambakan laut tanpa menghiraukan nasib usahawan melayu memburukkan keadaan.



Apalah yang boleh dibagi oleh usahawan melayu berbanding pelabur asing yang membawa wang berguni-guni.

Apabila gedung-gedung dibangunkan peniaga melayu hanya mampu melihat sahaja kerana tidak mampu membayar sewa yang mahal. Inilah nasib peniaga-peniaga melayu di bumi Hang Tuah ini dibawah pemerintahan UMNO/BN.

Inilah antara “hadiah” Melaka Maju 2010 kepada peniaga-peniaga kecil melayu.

Wednesday, 23 November 2011

Tanah Penduduk diceroboh Untuk dijadikan Longkang



Tanah seorang penduduk di Bukit Larang, Teluk Mas telah diceroboh dan dijadikan longkang oleh pihak berkuasa tempatan. Setelah dipertikaikan oleh Pemilik tanah, longkang tersebut telah ditimbus semula. Akibatnya air dikawasan tersebut melimpah kehalaman rumah penduduk sekitar ketika hujan turun.

Apakah PBT tidak peka kepada undang-undang apabila ingin membuat longkang. Sepatutnya PBT perlu membayar pampasan kepada pemilik tanah tersebut untuk dijadikan longkang, bukannya main terjah tanah orang.

Sepatutnya PBT harus merizabkan tanah untuk dijadikan longkang.




Apabila meninjau kekawasan sekitar, rupa-rupanya tanah rizab pihak berkuasa telah dijadikan garaj untuk diletakkan lori oleh seseorang yang dipercayai ahli UMNO, malah garaj diletakkan bendera BN dan bendera UMNO. Tertera nama pada lori tersebut Azman Aman, dipercayai seorang ahli UMNO. Walaupun telah dibagi notis oleh pihak MBMB untuk merobohkan garaj tersebut, pemilik garaj masih berdegil. Kenapa MBMB tidak bertindak? Itu yang menjadi persoalan penduduk.

Tanah tersebut sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan orang ramai. Sepatutnya tanah tersebut boleh digunakan untuk membuat longkang. Bukannya digunapakai oleh individu tertentu sahaja.

Akibat ketiadaan longkang, air kegunaan dari rumah tidak dapat disalirkan dan bertakung., seterusnya menimbulkan keresahan penduduk. Penduduk mengharapkan perkara tersebut diselesaikan dengan bijak oleh pihak berkuasa tempatan.

Berapa lama lagi penduduk harus menunggu supaya perkara tersebut dapat diselesaikan.

Tuesday, 22 November 2011

PASTI atau Sekolah Harapan Yang Mana Lagi Penting?

PASTI Jaya Insan, Bukit Katil

Bercelaru dan haru-biru pentadbiran sebuah kerajaan pimpinan yang diketuai oleh Ketua Menteri dalam isu berkaitan tanah. Ada sahaja tanah orang kampung yang diambil untuk tujuan pembangunan dan ada juga tanah yang diambil itu berunsur politik semata-mata seperti yang berlaku di Merlimau dan Bukit Katil. Tanah yang dimaksudkan ialah tanah milik Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Jaya Insan, Bukit Katil dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) As-Solihin yang terletak di Merlimau.

Kedua-dua PASTI ini merupakan tempat kanak-kanak kecil menuntut ilmu. Apakah dosa yang telah dilakukan oleh anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa itu politik? Gara-gara politik sempit pemimpin yang tidak menjadikan agama sebagi pegangan, anak-anak kecil yang tidak berdosa ini menjadi mangsa orang-orang politik berkepentingan yang tidak mahu melihat perkembangan ilmu agama bercambah dan berkembang.

Malahan tanah itu juga merupakan tapak persendirian yang tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri tetapi diambil begitu sahaja dengan hanya membayar pampasan semat-mata tidak mahu melihat sekolah anak-anak kecil itu terus beroperasi. Tambahan pula tempat anak-anak kecil itu menuntut ilmu merupakan tapak untuk PAS berceramah. Situasi ini mengundang ketidakselesaan kepada parti lawan maka mereka menggunakan platform pengambilan tanah.

Pelan utama pengambill alihan tanah

Pengambilan tanah di PASTI Jaya Insan, Bukit Katil adalah untuk pembinaan jalan raya. Kononnya jalan raya yang ada sekarang terlalu padat dengan kenderaan. Mengapakah tanah milik PASTI itu menjadi sasaran sedangkan tanah dihadapan PASTI itu boleh dijadikan laluan? Tanah di depan PASTI masih lagi luas dan ini bukan untuk jalanraya semata-mata tetapi melumpuhkan tempat orang berhimpun dan menuntut ilmu.

PASTI As-Solihin, Merlimau

Bagi tanah PASTI As-Solihin pula, tanah itu diambil oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka untuk dijadikan Sekolah Agama (JAIM) di bawah kerajaan negeri Melaka. Mengapa tapak tanah persendirian itu juga menjadi mangsa kezaliman kerajaan negeri? Adakah tanah dalam Melaka ini telah habis disapu oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab? Semakin hari tanah orang Melayu menjadi mangsa dikala parti pemerintah melaungkan slogan "Hidup Melayu" dan sebaliknya merekalah yang membunuh orang Melayu.

Sekolah Harapan, Jasin

Tetapi untuk sekolah pemulihan yang dinamakan Sekolah Harapan [link], kerajaan Melaka tanpa segan silu mendirikan sekolah tersebut sedangkan sekolah pembentukkan untuk pendidikan anak-anak kecil telah dinafikan hak. Antara dua sekolah berkenaan jika dibuat perbandingan, yang manakah patut diutamakan? Pembentukkan jiwa dan rohani atau pemulihan?

Pepatah ada mengatakan cegah sebelum parah. Sebelum berlaku kejadian yang tidak diinginisepatutnya kerajaan negeri memkirkan aspek pembentukkan dan bukannya memikirkan aspek pemulihan. Pemulihan dapat di atasi sekiranya ada pembentukkan. Kos untuk menampung pelajar Sekolah Harapan bagi setiap tahun adalah berjumlah RM1juta yang mana pelajarnya buat masa kini hanyalah 87 orang sahaja.

Begitu besar sekali perbelanjaan untuk Sekolah Harapan jika dibandingkan dengan dua sekolah bagi anak-anak kecil tadi. Akibat cetek dalam ilmu, maka tindakan yang dilakukan mengikut kehendak nafsu semata-mata dan campur tangan politik. Kerajaan negeri lebih pentingkan sekolah pemulihan dengan membina Sekolah Harapan sebaliknya sekolah untuk mendidik anak-anak kecil menjadi insan yang berguna dirobohkan? 

Monday, 21 November 2011

Akibat Longkang Tidak Sempurna



Akibat longkang tidak sempurna, seorang penduduk di No. 384-2 Batu 3 ½ Solok Bukit Baru Duyong terpaksa menahan bau busuk setiap hari apabila hari tidak hujan. Namun apabila hujan turun, air melimpah sehingga kedalam rumah.

Tinjauan mendapati system saliran yang tidak teratur adalah punca kepada keadaan tersebut. Longkang sudah tidak nampak seperti longkang di bahagian hulu, dipenuhi oleh semak.

Dibahagian hilir, longkang tanah ditepi rumah penduduk tersebut menjadi tempat saliran sisa buangan dapur oleh jiran-jiran sebelah. Akibat tiada longkang simen yang sistematik keadaan bertambah parah apabila beliau terpaksa menghidu bau longkang setiap hari.


Aduan telah dibuat kepada JKKK, malahan TV3 pun telah membuat liputan, sehingga sekarang masih tiada tindakan dari pihak berwajib.

Penduduk tersebut, Ramli bin Mulan, 46 sudah tidak tahan dengan keadaan tersebut. “Bila hujan lebat, air dari Solok Bukit Baru Duyong mengalir masuk kerumah saya dan rumah mertua saya, dan pernah melimpah ketika adik saya sedang tidur.

Keadaan bertambah buruk apabila saliran buangan dapur oleh jiran-jiran semuanya menghala kerumah beliau. Terdapat hampir empat saliran paip yang menghala ke longkang ditepi rumah beliau. Ditambah pula dengan tangki septik yang tidak jauh dari longkang tersebut.

“Bila keluarga datang, saya terpaksa menahan malu kerana mereka terpaksa menghidu bau longkang yang sangat meloyakan tersebut.

Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin. Hanya longkang simen dapat mengatasi masalah ini daripada berulang”. Kata beliau.

Beliau merayu kepada pihak berwajib supaya dapat menyelesaikan masalah tersebut. Perkara tersebut sudah lama berlaku, dan beliau sudah tidak tahan lagi.

Dalam keadaan Melaka kononya diiktiraf sebagai Negeri Maju, Negeri Teknologi Hijau, masalah longkang bersimen pun tidak mampu disediakan. Sedih sekali apabila negeri Bandar teknologi hijau, sistem perparitan tidak sempurna, dan tidak mampu disediakan oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah penduduk.

Sunday, 20 November 2011

Apakah Motif Kerajaan Negeri Buat Potongan RM10 Duit Koperasi?


Selain temubual berkaitan ADUN di dihalang memasuki Dewan Undangan Negeri, saya ada bertanyakan soalan berkaitan isu duit RM10 yang ditolak oleh kerajaan negeri terhadap mereka yang terlibat dalam skim koperasi yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri. Apakah motif pemotongan RM10 duit koperasi disebalik ahlinya tidak membenarkan dibuat potongan tersebut? Ikuti wawancara saya bersama ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Paoy Tiong

Saturday, 19 November 2011

Campur Tangan Politik BN dan Speaker


Apakah punca utama ADUN dihalang memasuki dewan sebagai pemerhati sedangkan syarat utama ketika dalam dewan menjaga tatasusila? Sebaliknya ada campur tangan daripada Ketua Menteri yang menghalang wakil-wakil ADUN DAP daripada memasuki dewan sedangkan tugas tersebut di bawah kuasa speaker. Adakah Ketua Menteri lebih berkuasa daripada speaker dalam dewan? Ikuti temubual saya dengan ADUN Ayer Keroh di pejabatnya.

Friday, 18 November 2011

Tidak Mustahil BN Melaka Akan Tumbang


“Jangan mimpi hendak tawan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.”

Begitulah kenyataan ego dan bongkak yang dipetik dari sebuah akhbar. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Bukan itu sahaja, beliau turut menyatakan Pakatan Rakyat jangan mimpi. Selangor dan Kedah akan jatuh semula ke tangan BN. Bukan itu sahaja. BN turut berpeluang (menang) di Pulau Pinang dan Kelantan. 

Namun kenyataan Ketua Menteri Melaka itu turut disanggah oleh ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Paoy Tiong ketika sidang media di Pejabat Pusat Khidmatnya di Ayer Keroh pagi tadi. Saya turut bertanyakan soalan berkaitan kenyataan Ali Rustam itu kepada beliau. Berikut ialah pandangan beliau tentang sikap Ali Rustam yang terlalu bongkak akan kebolehan Pakatan Rakyat untuk memerintah terutamanya negeri Melaka ini.

Tahniah Kepada Pelajar Yang Mendapat 5A


Alhamdulillah dan sekalung tahniah kepada semua pelajar di seluruh negeri Melaka yang telah menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini serta mendapat keputusan yang cemerlang 5A dalam peperiksaan tersebut yang diumumkan kelmarin. Seramai 1,478 daripada 14,758 murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Melaka tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Syakirah bersama ibunya

Tahniah juga diucapkan kepada Syakirah Karim walaupun menghidap pseudoachondroplasia atau masalah sendi sehingga menyukarkan beliau menulis ia tidak mematahkan semangat beliau untuk mengecapi kejayaan 5A bersama-sama pelajar yang lain. Akibat penyakit itu tangannya cepat lenguh ketika menulis menyebabkan beliau sering tidak sempat menyalin nota yang ditulis guru di papan hitam.

Katanya, beliau terpaksa meminjam buku rakan-rakan dan menyalin semula nota di rumah. Rahsia kejayaanya turut dikongsi iaitu beliau mengulangkaji pelajaran setiap hari selama satu atau dua jam.

Menurut sumber Jabatan Pelajaran Negeri,  bilangan murid yang mendapat semua A pada tahun ini menurun daripada 10.4 peratus tahun lalu kepada 10 peratus tahun ini. Bilangan yang mendapat semua A juga menurun 27 murid daripada 1,505 murid tahun lalu kepada 1,478 murid tahun ini.

Pencapaian murid dalam menguasai tahap minimum gred A, B dan C bagi semua mata pelajaran pula seramai 10,150 murid atau 68.8 peratus berbanding 68.6 peratus tahun lalu. Pada tahun ini, bilangan murid yang menduduki peperiksaan UPSR meningkat berbanding seramai 14,473 atau perbezaan 285 murid pada tahun lalu.

Menurut sumber Jabatan Pelajaran Negeri lagi, Gred Purata bagi negeri ini adalah 2.16 iaitu meningkat 0.02 berbanding tahun lalu.

Yusof Wahab
Penyelia DUN Bukit Baru

Thursday, 17 November 2011

Adakah Ini Kapal Yang Berkaitan Judi?


Sebelum ini kita digemparkan didada akhbar tentang kehadiran kapal mewah di Selat Melaka yang dikatakan ada lokasi perjudian dalam kapal tersebut. Dua hari lepas kapal mewah telah berlabuh di Selat Melaka dan tidak jauh dari pesisir pantai Melaka. Apakah tujuan utama kapal itu berlabuh di Melaka? Adakah untuk tujuan pelancongan atau sebaliknya seperti yang dilaporakan didada akhbar?

Wednesday, 16 November 2011

Sampah Penanda Aras Melaka Negeri Maju

Sampah di Kawasan Perindustrian Telok Mas

Setelah Melaka mendapat pengiktirafan Negeri Maju 2010 pada Oktober tahun lalu, kemajuan itu mungkin sedikit terbantut dengan kehadiran sampah yang sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan sebuah negeri yang dikatakan maju. Apakah yang dimaksudkan dengan negeri maju kepada rakyat terbanyak di Melaka? Adakah sekadar maju dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka yang tidak menampakkan penerbangan harian atau dengan adanya monorel yang dikatakan selalu rosak dan pernah rosak 8 kali dalam masa 3 minggu?

Di Melaka ada dua tempat pelupusan sampah yang terletak di Krubong dan Sungai Udang. Tapak pelupusan sampah yang terletak di Krubong hanya boleh bertahan sehingga tahun 2014 atau 3 tahun dari sekarang manakala tempat pelupusan sampah yang terletak di Sungai Udang hanya boleh menampung sampah sehingga 2016 iaitu kira-kira lima tahun dari sekarang. Keadaan ini pasti akan menggusarkan rakyat Melaka kerana terpaksa mencari tempat penimbusan sampah yang baru.

Sampah sudah pecah dan berair

Bagaikan kawasan sampah di Telok Mas

Rakyat Melaka menghasilkan antara 1,300 tan dan 1,400 tan sampah sehari manakala kos untuk penimbusan tanah di tapak pelupusan sampah, mencecah RM70,000 sehari. Jika ini tidak dibendung, status Melaka sebagai negeri maju akan tergugat akibat timbunan sampah yang semakin hari semakin meningkat. Kemajuan yang dikejar oleh kerajaan negeri hanya tertumpu ke arah bandar dan tidak ke arah bahagian pedalaman.

Bagi merealisasikan usaha itu, mulai 1 Jan depan kerajaan negeri bercadang mengenakan bayaran antara 10 sen dan 20 sen kepada sesiapa yang ingin menggunakan beg plastik ketika membeli barang. Adakah dengan langkah tersebut akan mengurangkan penghasilan sampah? Siapakah yang harus dipersalahkan akibat pembuangan sampah yang berlebihan ini? Salah manusia atau perlu kurangkan plastik dalam urusan jual beli harian?

Selain dari dua tempat pembuangan samaph tersebut, lokasi di kawasan perindustrian Telok Mas juga mengundang penyakit akibat sikap pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati. Disebalik kemajuan yang dikejar di kawasan bandar, kawasan pedalaman telah menjejaskan status sebuah negeri maju. Penanda aras Melaka buat masa ini adalah timbunan sampah yang tidak dapat dibendung dan slogan "Melaka Negeri Bandar Teknologi Hijau" akan hanya jadi syok sendiri kerajaan negeri pimpinan Ali Rustam.

Tuesday, 15 November 2011

Projek PRK Merlimau Belum Tertunai



Bukan saja pengundi Pilihanraya Kecil Dun Merlimau, Melaka yang menagih janji  Barisan Nasional, malah monyet-monyet dan beruk-beruk juga menagih janji Barisan Nasional yang kononnya akan membina sebuah taman monyet untuk monyet-monyet yang berkeliaran dikawasan berhampiran.

Setelah lebih lapan bulan PRK Merlimau berlalu, tiada satu tiang pun dipacak bagi menandakan taman monyet tersebut akan dibina. Tinjauan yang dilakukan mendapati kawasan tersebut masih berlumpur dan berselut.


Monyet yang berkeliaran dikawasan Jeti Kuala Merlimau tersebut dianggarkan berjumlah sebanyak 200 ekor, dan ditambah pula dengan kehadiran babi yang merayau dikawasan sekitar.


Penduduk setempat Osman bin Ahmad, 73, ditemui menyatakan tidak nampak tanda-tanda taman monyet akan dibina. “Taman monyet tak nampak pun, atas pokok banyak la monyet, bawah pokok (pula) babi.”

Menurut Yusuf Wahab, “taman yang dicakap oleh Timbalan Perdana Menteri  belum wujud lagi, hanya janji politik pilihanraya. Ramai pelancong yang masuk untuk melihat taman monyet tetapi pulang dengan hampa, janji BN setiap kali PRK dan PRU sebahagian besarnya adalah pembohong”.

Papan tanda projek menunjukkan tiada cadangan untuk membina taman monyet tersebut. Dan anehnya papan tanda tersebut ialah ianya tertulis “Projek Barisan Nasional”, dan bukannya “Projek Kerajaan Barisan Nasional” seperti sebelum-sebelum ini. Yang peliknya pula pemiliknya adalah Kerajaan Negeri Melaka, bukannya Barisan Nasional.


Satu lagi janji yang dibuat semasa PRK Merlimau, Melaka ialah pembinaan sekolah jenis kebangsaan tamil.

Sekolah yang ada sekarang adalah menumpang dikawasan sekolah menengah Tun Abdul Rahman Yaakob berpuluh tahun yang lalu. Menurut Yusuf Wahab “Sudah dua kali PRU dijanjikan sekolah baru dikawasan yang berdekatan tetapi hampa, dalam PRK Merlimau dijanjikan sekali lagi, tak tahulah bila ianya akan jadi kenyataan, masyarakat India di Dun Merlimau menaruh harapan yang besar agar sekolah ini dapat dibina.”

Monday, 14 November 2011

Mana Perginya Peruntukkan Longkang Ini?


"Apabila hujan lebat, keadaan air longkang akan melimpah keluar". Itulah luahan seorang penduduk di Taman Harta Pertama, Puan Wong, 54, kepada saya. Setiap kali hujan turun, beliau akan berhadapan dengan keadaan air longkang melimpah kerana air yang menampung longkang tersebut dari tiga kawasan yang lain bertemu pada satu longkang dibelakang rumahnya menyebabkan aliran longkang itu penuh dan tersumbat.

Peruntukkan untuk longkang tersebut telah diluluskan. Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) mengatakan bahawa peruntukkan untuk longkang tersebut telah ada namun kata pegawai tersebut perlu berjumpa dengan penghulu. Tetapi kat penhulu pula longkang tersebut telah masuk ke tanah orang lain. Jika longkang itu telah masuk ke kawasan orang lain, mengapa longkang yang ada sebelum ini boleh pula masuk tanah orang?

Seorang lagi penduduk taman berkenaan, Bakhtiar Basar, 33, turut tidak berpuas hati dengan masalah longkang yang dibina itu. Apa yang dikehendaki ialah longkang simen dan bukannya mengorek dan membesarkannya. Ini kerana longkang yang dikorek akan juga tertimbus dengan tanah dan sampah yang turut di bawa arus. Tapi tindakan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu dan sidang hanya membenarkan untuk mengorek dan membesarkan longkang tersebut.



Bagi Puan Wong, beliau terpaksa mengupah orang lain untuk membersihkan longkang dan ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan ini kerja-kerja JPS yang membersihkan kawasan longkang. Beliau juga kesal dengan tindakan JPS yang tidak melaksanakan kerja-kerja berkaitan saliran dan pengairan ini. Kita juga ada menghubungi pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan pegawainya ada mengatakan itu urusan JPS.

Apabila ditanya kepada pihak JPS, mereka mengatakan memang ada peruntukkan untuk longkang tersebut seperti yang diberitahu oleh pegawainya, En. Nasir. Beliau ada menghantar pegawainya ke Taman Harta Pertama dan berkata mereka boleh laksanakan kerja-kerja ini tetapi perlu berurusan dengan penghulu dan sidang Kampungku Sayang.

Paling peliknya penghulu kata tidak boleh kerana melalui tanah orang lain. Habis itu tanah yang dibuat longkang itu boleh pula dibuat longkang dan tanah siapkah pula itu? Penduduk taman tersebut bukan minta buat longkang baru sebaliknya meletakkan longkang simen. Persoalannya sekarang bagaimana CFO boleh diluluskan sedangkan sistem peparitan tidak sempurna? Penduduk amat kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh JPS itu.

Tinjauan kami hari ini mendapati ada jentolak yang digunakan untuk membesarkan longkang untuk pengaliran air dan melalui tanah orang tetapi parit simen konkrit masih belum dibuat sehingga ke hari ini. Apabila hujan lebat, keadaan air longkang mengeluarkan bau yang amat busk dan menjengkelkan. Air hampir memasuki rumah dan yang menjadi mangsa ialah penduduk di Taman Harta Pertama.

Adakah ini cara UMNO dan JKKK menyelesaikan masalah yang tidak pernah selesai?

Friday, 11 November 2011

Nasib Peniaga Melayu Akibat Pesatnya Pembangunan


Demi mencapai matlamat dan mengekalkan status negeri maju, nasib peniaga Melayu untuk mencari rezeki bagaikan dibiarkan terpinggir dek kerakusan pembangunan. Bukanlah kita mahu menolak pembangunan yang dilaksanakan namun kesan-kesan lain juga harus dititik beratkan dan demi menjaga "periuk nasi" peniaga terutamanya peniaga berbangsa Melayu.

Siapakah yang akan membela nasib peniaga Melayu sekiranya nasib mereka tidak dibela? Hari demi hari tanah orang Melayu diambil oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan dan adakah orang Melayu akan mendapat faedah hasil daripada pembangunan tersebut sebagai seorang peniaga? Mungkin pada mulanya ia hanya penyejuk hati dan lama-kelamaan akan lenyap dalam memori.


Cuba perhatikan kedai milik orang Melayu dan pembanguanan yang berada disekitarnya. Perbezaan yang paling ketara adalah bangunan-bangunan yang tinggi didirikan sehingga bertingkat-tingkat namun kedai peniaga hanya daripada kayu. Tidak sesuai diiktiraf negeri maju kerana yang nampak maju ialah bangunan dan bukannya kedai-kedai peniaga.

Sekiranya banyak bangunan yang dibina, tidak mustahil suatu hari nanti akan ada kedai yang akan bersaing dengan kedai orang Melayu yang sekali gus membantutkan punca pencarian rezeki. Contoh yang mudah, peniaga di kedai-kedai kopi mengekalkan ciri-ciri sebuah kedai kopi namun jika banyak kedai yang bertaraf restoran, tidak mustahil peniaga Melayu akan gulung tikar.

Ini kerana kehidupan hari ini lebih kepada keselesaan dan manusia mungkin tidak akan dapat melihat lagi kedai-kedai makan yang ada di tepi jalan seperti hari ini kerana semua menjadi mudah akibat tumbuhnya restoran-restoran yang bukan tulinnya daripada orang Melayu. Anak-anak pada generasi akan datang akan lihat ia sebagai kenangan tinggalan datuk dan nenek mereka.



Contoh peniaga Melayu di Taman Saujana Seksyen 2, peniaga-peniaga Melayu mencari rezeki ditepi jalan. Tetapi pembangunan yang dibina oleh pihak pemaju tidak sedikit pun mematahkan semangat peniaga untuk teruskan berniaga. Mana perginya pemimpin yang kononnya membela Melayu? Mengapa tidak disediakan tempat yang baik kepada peniaga? Pembangunan yang dikejar tetapi peniaga dipinggirkan.

Kemajuan yang dikejar tetapi pada masa yang sama nasib peniaga dibiarkan tanpa sebarang pembelaan dari pihak kerajaan. Sepatutnya kerajaan mengambil berat nasib peniaga yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Pembangunan yang selari dengan kehendak rakyat harus diutamakan dan bukannya pembangunan untuk memenuhi kantung poket pemimpin yang tidak berjiwa rakyat.

Thursday, 10 November 2011

Berapa Banyak Lagi Mahu Ambil Tanah Orang Melayu?


Memperjuangkan Melayu hanya sekadar retorik yang hanya singgah dibibir pemimpin-pemimpin sahaja tetapi rakyat bawahan sering tertipu dengan janji-janji manis mereka. Di manakah letaknya perjuangan Melayu yang dicanang oleh parti yang heboh memperkatakan "Hidup Melayu" dan pada masa yang sama menjadikan orang Melayu sebagai boneka untuk menindas mereka.

Isu tanah orang Melayu selalu menjadi topik hebat yang dibincangkan dan sering terdengar tanah orang Melayu sahaja yang diambil dan adakah ini sebenarnya perjuangan orang Melayu dalam bidang politik? Politik punya pasal rakyat yang sengsara. Di manakah pembelaan sebuah parti yang kononnya menjadi Melayu sebagai platform membela Melayu sedangkan hak Melayu mereka yang menghakisnya?

Di Kampung Padang Jambu, seorang penduduk tempatan yang bernama Kasim B. Tawi, 67, menceritakan bagaimana tanah yang mereka duduki sebelum ini telah diambil untuk dijadikan tapak milik Kolej Perubatan Manipal. Pada ketika itu, rumah yang ada dalam tanah berkenaan berjumlah 35 buah rumah yang mana 18 buah rumah membayar cukai manakala selebihnya tidak membayar cukai.

Tanah yang mereka duduki itu sebenarnya milik Chim Yam Chuang Templer dan telah diubah geran yang besar. Apabila tanah itu mahu dijual, pihak pembeli menawarkan harga asal RM3,000 tetapi ditentang dan dapat RM14,000 bagi yang tidak membayar cukai manakala yang membayar cukai memperolehi RM34,000.

Sewaan tanah bagaikan seperti bertukar tangan. Orang Melayu menyewa tanah orang Cina manakala bersebelahan pula orang Cina menyewa tanah orang Melayu dan diminta keluar serta dibayar RM1000,000. Betapa mudahnya mengeluarkan orang Melayu dan dimanakah letak nilai harga diri orang Melayu itu? Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Pengerusi kampung tersebut yang juga orang kuat UMNO terlebih dahulu meninggalkan tanah berkenaan. Tanah tersebut telah diambil kira-kira tiga tahun yang lepas untuk dijadikan tapak Kolej Perubatan Manipal dan penduduk di kawasan ada yang masih tinggal di kawaan tersebut dan ada yang telah keluar dari kawasan itu.

Wednesday, 9 November 2011

Murahnya Nilai Tanah Yang diambil, Penghinaan Kepada Rakyat


Apakah perasaan anda sekiranya tanah milik anda atau keluarga anda dibeli atau diambil oleh kerajaan dengan harga yang sangat murah dan tidak setimpal dengan sepatutnya? Tanah yang dibeli dengan murah dan kemudiannya dijual dengan harga yang berlipat kali ganda dan itulah yang terjadi kepada ibu salah seorang bekas polis, Abu Bakar B. Hj Talib, 50 yang tanah milik ibunya telah diambil oleh kerajaan dengan harga yang murah.

Ibunya yang memiliki tanah pada asalnya merupakan tanah sawah seluas tiga ekar telah diambil oleh kerajaan yang pada ketika itu ditunjangi oleh Rahim Thamby Chik, bekas Ketua Menteri Melaka pada ketika itu untuk membina kilang dengan harga 40 sen sekaki persegi. Tanah yang sepatutnya didirikan kilang telah dijadikan kawasan perumahan. Hampir 3/4 bahagian daripada tiga ekar tersebut telah dijadikan kawasan perumahan dan janji-janji membina kilang hanya sekadar cakap-cakap kosong sahaja.

Sebagai seorang anak, beliau sangat kecewa dengan sikap kerajaan pimpinan Rahim Thamby Chik pada ketika itu kerana harga yang ditawarkan terlalu rendah dan beliau juga tidak pernah menolak cadangan kerajaan mahu membuat pembangunan cuma yang dikesalkan beliau ialah yang mendapat untung adalah kroni-kroni di bawah Rahim Thamby Chik sebaliknya rakyat yang merana.


Tanah sawah yang diambil oleh kerajaan pada ketika itu sekarang telah menjdai taman perumahan yang dinamakan Taman Seri Telok Mas. Taman tersebut siap semenjak 13 tahun yang lepas dan kesan buruk daripada itu ialah ada kedai-kedai judi komputer secara berleluasa dan ada juga dikalangan anak-anak berbangsa melayu yang menogok minum keras dan ada yang minum secara terang-terangan dikhalayak ramai.

Pernah juga kedai serbaneka 7eleven ditegur supaya tidak menjual minuman keras dan jawapan mereka sungguh mendukacitakan. Alasan yang mereka berikan adalah kami cuma ikut arahan orang atasan sahaja walhal yang kita tahu kedai itu milik mereka yang beragama Islam. Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal sedemikian? Pemuda yang mebeli atau peniaga yang menjual? Jawapan yang mudaha adalah berpegang kepada ajaran agama maka selamatlah kita dari kemungkaran.

Setelah tanah itu dimajukan, beliau di antara anak kepada tuan tanah yang tidak mendapat apa-apa manfaat dan hanya mampu menjual kupang ditepi jalan untuk mencari sedikit pendapatan untuk menyara keluarga. Beliau juga kecewa dengan sikap pemimpin yang hanya ingin menolong melayu sebaliknya menajdikan melayu sebagai habuan mereka untuk kepenting masing-masing.

Walaupun siapa Ketua Menteri Melaka dari dahulu sehingga sekarang yang dipilih dari kalangan UMNO, kezaliman tetap diteruskan.

Tuesday, 8 November 2011

Tapak Baru Tahfiz As-Solihin

Pelan

Salah seorang Ahli Jawatan Kuasa Tahfiz As-Solihin di Merlimau, Abdul Ghani Md Shahim, 65, merupakan pencetus idea untuk membuka tahfiz tersebut. Anak beliau,  Muhammad Fadhullah Abdul Ghani merupakan salah seorang yang berkelulusan ijazah syariah daripada Syria.

Muhammad Fadhullah Abdul Ghani yang juga merupakan anak beliau merupakan seorang guru di tahfiz tersebut. Selepas itu beliau bertemu dengan Badan Kebajikan As-Solihin sebuah badan NGO Merlimau yang pernah membuka sekolah tahfiz namun telah dihentikan operasinya kerana mengalami beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Beliau juga ada berbincang dengan saya untuk membuka sebuah sekolah yang baru di tapak yang baru memandangkan tapak yang ada sekarang akan diambil alih oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk dijadikan tahfiz baru di bawah kelolaan MAIM.

NGO kita bercadang untuk keluar dari situ dan kebetulan ada seorang hamba ALLAH mewakafkan 1 ekar tanah dan telah ditukar nama atas nama Badan Kebajikan As-Solihin. Proses pecah lot tanah telah dilakukan di Pejabat Daerah Jasin dan telah selesai mengikut kaedah pembhagian tanah tersebut. Badan Kebajikan As-Solihin telah dimasukkan ke dalam geran dan tanah itu telah disahkan oleh pejabat daerah.


Setelah berbincang dengan jawatankuasa tersebut, mereka telah bersetuju dan bermula pada tahun awal tahun 2006 iaitu Januari 2006, dua orang pelajar telah mendaftar masuk dan pada bulan jun tahun yang sama juga bilanagn pelajarnya telah bertambah kepada lapan orang. Sehingga sekarang pada Oktober 2011 jumlah pelajarnya bertambah kepada 60 orang yang mana 50 orang pelajarnya adalah hafiz dan selebihnya hafizah.

Kebanyakkan pelajar yang datang adalah dari negara iaitu dari negeri Melaka sendiri, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Sarawak, Pahang, Johor, Kedah, Kelantan kecuali Terengganu. Pendaftaran bagi sesi 2011/2012 mula dibuka dan pel.ajar baru seramai tujuh orang telah mendaftar. Kemasukan terus dibuka sehingga mencapai sasaran pelajar 100 orang.

Pengalaman menguruskan tahfiz pada ketika itu terpaksa ketuk pintu dari rumah ke rumah bagi memohon bantuan kewangan dan juga barangan seperti minya, beras dan lain-lain di seuruh negeri Melaka. Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan walaupun yuran kita yang termurah di Malaysia iaitu sekitar RM160 sebulan tetapi kita dapat menanggung kos sehingga sekarang. Bagi pelajar anak yatim dan miskin tegar dikecualikan yuran. Jumlah pelajar yatim seramai 4 orang dan yang miskin tegar seramai 6 orang.

Sekarang kami mula merangka membina bangunan tiga tingkat yang berharga RM1.3 juta. Biarkan kezaliman MAIM berterusan namun ia tetap tidak mematahkan semangat kami  untuk mendirikan bangunan baru. Dengan ini kami siarkan beberapa maklumat berkaitan seperti pelan bangunan dan no akaun bank untuk sumbangan pembinaan bangunan baru Tahfiz As-Solihin.

Antara aktiviti saya selaku Penyelia DUN Bukit Baru ialah menguruskan masyarakat dan melahirkan Hafiz dan Hafizah di Merlimau, Jasin. Hadis sahih berbunyi "Seorang Hafiz dapat memberi syafaat kepada 10 orang manakala seorang Hafizah dapat memberi syafaat kepada 10 orang yang lain."


Marilah sama-sama saya membantu dengan menyumbangkan sumbangan ke nombor akaun MAYBANK: 554053202841. Sebarang masalah bolehlah menghubungi Mudir Tahfiz, Ustaz Muhammad Fadhullah Abdul Ghani di talian 012-3226940.