Pages

Thursday, 28 February 2013

Bala dakwa Razak kesal tak bayar komisyen Altantuya

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam mendakwa penganalisis politik Abdul Razak Baginda menyatakan kekesalan kerana tidak membayar komisyen US$500,000 yang dituntut wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.
Beliau mendakwa Razak berkata demikian sejurus sebelum ditahan pada 2006.

Balasubramaniam berkata beliau pada masa itu sedang meninggalkan pejabat seorang peguam yang dikenali sebagai Puravelan, bersama Razak dalam satu lif.

Balasubramaniam, yang diupah Razak pada masa itu, membuat pendedahan mengenai peristiwa berhubung kematian Altantuya, dalam kemunculan pertamanya di majlis umum di negara ini, selepas melarikan diri hampir lima tahun lalu.

Akhbar pada waktu itu sudahpun menimbulkan spekulasi mengenai penahanan Razak pada hari itu dan peguam berkenaan sedang membuat persediaan mengenai kemungkinan tersebut.

Balasubramaniam juga mendakwa, beliau memberitahu Razak: "Bos, tengok sini. Apa nasihat saya pada awak? Laporan polis. Awak sepatutnya sudah buat laporan polis."

Balasubramaniam mendakwa Razak mengupahnya untuk menghalang Alantuya, namun beliau menasihati Razak supaya membuat laporan polis.

Balasubramaniam mendakwa, Razak bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana "seorang VVVIP terlibat".

sumber: Malaysiakini

Tuesday, 26 February 2013

Bahaya: Kotak perbekalan TNB terdedah.

Keadaan kotak bekalan elektrik yang terbiar tanpa diselenggara dengan baik simpang masuk ke Taman Merbok, Bukit Katil.

Sebelum sebarang kecelakaan berlaku eloklah ianya diperbaiki oleh pihak yang bertanggungjawab.

Jangan sampai hilang nyawa baru hendak bertindak.

Sunday, 24 February 2013

MTD Bukit Baru anjur pemeriksaan kesihatan percuma


Majlis Tindakan Dun Bukit Baru dengan kerjasama Unit Peti Undi Kampungku Sayang telah mengadakan program pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat.

Program yang bermula pada jam 9 pagi sehingga yang 12 .30 tengahari itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai.

Program ini bertujuan sebagai usaha untuk mempromosi gaya hidup sihat kepada penduduk disampaing peka terhadap kesihatan penduduk



Friday, 22 February 2013

Bekas peneroka Bukit Senggeh saman Felda


AYER KEROH - Seramai 59 bekas peneroka Felda Tun Ghafar Baba, Bukit Senggeh, Jasin memfailkan saman dan deklarasi terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Deklarasi itu antaranya untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai hutang kepada Felda atau sebaliknya.

Deklarasi itu juga meminta pihak defendan memberi penyata terperinci bagaimana hutang tersebut dilakukan terhadap bekas peneroka yang juga plaintif.

Kesemua tuntutan diwakili Peguam T Kumar dan R Saravanan di Kompleks Mahkamah Melaka, jam 11 pagi.

Selain hampir 20 orang bekas peneroka, turut hadir Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin memenuhi perkarangan mahkamah.

Sementara itu, Kumar berkata, tuntutan saman itu berikutan pihak Felda tidak peduli untuk melayan sebarang usaha bekas peneroka yang berulang kali meminta mendapatkan penjelasan.

“Plaintif-plaintif tiada jalan lain kecuali mengambil tindakan saman ke atas Felda untuk pertahankan hak mereka sebagai bekas peneroka yang bimbang sama ada mereka mempunyai hutang.

“Sekiranya ada, bagaimana hutang itu wujud sedangkan mereka tak sertai sebarang program yang diusahakan Felda sejak 2001,” katanya.

Dalam afidavit yang difailkan di mahkamah, plaintif turut menyatakan laporan polis berhubung seorang anak bekas peneroka,  Chew Ah Kiw, 60, yang telah meninggal dunia ingin menukar nama hak milik tanah kepada isteri si mati di ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, penukaran itu tidak dapat dilakukan apabila dimaklumkan Ah Kiw mempunyai hutang sebanyak RM35,581.11 kepada Felda.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, 21 February 2013

Padang permainan tidak berpagar cetus perbalahan, dimana persatuan penduduk?


Penduduk Taman Bukit Katil Indah tidak mengatui berkenaan status Persatuan Penduduk disitu apakah masih hidup ataupun tidak, berfungsi ataupun tidak.

Kisahnya bermula apabila kanak-kanak yang bermain bola di taman permainan telah tersepak bola dan mengenai rumah salah seorang penduduk sehingga cermin rumahnya pecah. Kerana tidak tahan dengan cermin rumahnya pecah, ada penduduk bertindak membelah bola tersebut.

Oleh kerana berulang kali berlaku penduduk tersebut telah membuat aduan kepada pihak Polis.

Pihak polis menasihati supaya kes ini diselesaikan bersama persatuan penduduk.

Apabila ingin diajukan masalah tersebut kepada persatuan penduduk, persatuan penduduk tidak diketahui statusnya, tidak diketahui sama ada telah mati ataupun masih wujud.

Malahan balairaya juga telah bertukar menjadi Tadika Kemas. Bagaimana Balairaya boleh bertukar menjadi tadika Kemas ini juga satu persoalan yang harus dijawab.

Rumah penduduk ditaman tersebut dianggarkan berjumlah lebih kurang 600 biji tetapi persatuan penduduk tidak diketahui kewujudannya.

Taman tersebut tidak ada padang yang sesuai untuk bermain bola, malahan padang permainan yang ada tidak berpagar.

Penduduk ingin memohon supaya diadakan pagar yang tinggi bagi mengelakkan bola yang disepak terkena cermin rumah penduduk disitu.

Penduduk percaya selagi tidak dibina pagar yang tinggi kes ini tidak dapat diselesaikan dan akan menyebabkan pergaduhan diantara penduduk dimasa akan datang.

Penduduk memaklumkan semasa pertemuan dengan penduduk bersama adun Bukit Baru yang juga Ketua Menteri Melaka dua tahun lalu, beliau menyatakan supaya penduduk meminta apa yang penduduk kehendaki dan beliau akan berusaha untuk menunaikan.

Khabarnya taman tersebut turut dihuni oleh Ketua Pemuda UMNO Melaka yang juga turut disebut-sebut akan bertanding pada PRU akan datang.




Wednesday, 20 February 2013

Jalan dibaik pulih secara ala kadar


Keadaan jalan di Taman Saujana Indah Seksyen 2 ini ditar secara ala-kadar menyebabkan tar tersebut telah pecah-pecah dan tidak rata.

Apakah keadaan ini dibiarkan sahaja oleh pihak berkuasa tanpa apa-apa tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Dimanakah penguatkuasaan pihak kerajaan terhadap kerja-kerja tidak berkualiti yang dilakukan.

Yang pastinya ini semua merupakan pembaziran terhadap wang rakyat dan juga menyusahkan penduduk


Tuesday, 19 February 2013

"Jangan gigit tangan yang suap anda" seru Deepak kepada Najib

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Deepak Jaikishan menyokong kenyataan Tun Dr Mahathir agar jangan menggigit tangan yang menyuap anda dengan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar jangan juga menggigit tangan yang merasuah anda.

"Tun Mahathir meminta peneroka Felda agar bersyukur dan jangan menggigit tangan yang menyuap mereka.

"Tun, tolong beri nasihat yang sama kepada  (Datuk Seri) Najib dan (Datin Seri) Rosmah, yang mereka tidak sepatutnya menggigit mereka yang memberikan rasuah kepada mereka," kata Deepak bekas rakan perniagaan Rosmah hampir 10 tahun dalam kenyataannya kepada media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir kepada peneroka Felda agar jangan sesekali melupakan jasa kerajaan kepada mereka dengan meminta mereka 'jangan menggigit tangan yang menyuap mereka.'

Deepak sebelum ini mendakwa telah memberikan puluhan juta kepada rakan perniagaannya itu melalui projek yang mereka usahakan bersama.

Namun sejak kes Akuan Bersumpah P Balasubramaniam yang kedua, Deepak telah diketepikan dan diberikan pelbagai tekanan oleh rakannya.

Deepak juga meminta Najib tidak melupakan rakyat yang memberikan undi kepadanya selama ini.

"Juga yang memberikan undi kepada mereka kerana ia sangat berbahaya untuk berbuat demikian.

"Mereka boleh jadi hilang pekerjaan dan yang lebih teruknya berakhir di (penjara) Sungai Buluh," kata Deepak dalam kenyataannya kepada media.

Sumber" Harakahdaily

Saturday, 16 February 2013

Satu lagi jalan baru akan dibina, untuk siapa?


Satu lagi jalan baru yang akan dibina di Bukit Katil. Jalan ini khabarnya dibina bagi bertujuan supaya dapat menembusi sebuah chalet seorang pembesar Melaka yang terdapat di Bukit Pulau.

Menurut kisah penduduk, jalan itu dibina semata-mata bertujuan supaya chalet pembesar tersebut mudah dihubungi.

Akta Tanah digunakan bagi mengambil alih tanah, rumah penduduk kampung dan gerai makan berhampiran.

Khabar angin bertiup, jika UMNO terus memerintah selepas PRU-13 , tanah penduduk di Kg. Bukit Pulau tidak lagi selamat.


Wednesday, 13 February 2013

Ali Rustam angan lari bertanding di Parlimen kalau anak jantan-Yusof



Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mempertahankan kerusi Dun Bukit Baru yang disandangnya sekarang.

"Ketua Menteri jangan cuba lari dari bertanding di Dun Bukit Baru kalau beliau benar-benar anak jantan. PAS dan rakyat Dun Bukit Baru menunggu beliau di Dun ini" 

"Dun Bukit Baru sangat sinonim dengan beliau kerana di dalamnya terletak kampung beliau, di sini ramai sanak saudara dan penyokong beliau jadi buat apa beliau hendak bertanding di kawasan lain" ujar Yusof yang juga Penyelia Dun Bukit Baru.

Yusof berkata sebagai seorang Ketua Menteri beliau sepatutnya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di dalam Dun Bukit Baru di mana masih ramai rakyat yang susah, perlukan bantuan dan miskin.

"Bila kita turun padang bertemu rakyat, kita jumpa macam-macam kategori orang susah, ada yang miskin, tiada bantuan, cacat anggota akibat kemalangan dan sebagainya".

"Ramai dikalangan mereka tidak dapat bantuan, ada yang dapat bantuan tetapi tidak cukup.Mana perginya wang zakat yang ada lebihan, mereka yang seperti inilah yang sepatutnya dapat bantuan tersebut. Sebagai Adun Bukit Baru beliau mesti bertanggungjawab" tambah Yusof.

Beliau berkata Ali Rustam juga mesti bertanggungjawab terhadap hutang kerajaan negeri yang sudah mencecah lebih RM850 juta seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

"Ketua Menteri mesti terus bertanding di Dun supaya jika BN menang dia boleh terus menerajui kerajaan negeri dan membayar hutang yang menimbun sebanyak lebih dari RM850 juta".

"Beliau jangan cuba lari ke bertanding di kerusi Parlimen, siapa hendak jawab tentang duit rezab kerajaan negeri yang tinggal RM8 juta sahaja sekarang" tambah Yusof.

Baru-baru ini Mohd Ali dalam kenyataan di media arus perdana menyatakan bahawa beliau berminat untuk bertanding di kerusi Parlimen.

"Saya nasihatkan beliau supaya tidak bertanding di Parlimen sebab tiada jawatan yang sesuai dengan beliau di dalam kabinet, itupun kalau BN menang".

"Kalau BN kalah sudah tentu beliau akan jadi Ahli Parlimen pembangkang, lebih baik bertanding Dun kemungkinan besar boleh jadi Ketua Menteri lagi iaitu Ketua Menteri negeri pembangkang sebab waktu itu Putrajaya Insya Allah sudah diperintah oleh PR"ujar Yusof.

Sumber: mutaligat

Jalan ditar semula tiada garisan zebra untuk melintas


Bukit Baru: Jalan yang menghubungkan Bukit Baru-Penghulu Abas telah ditar semula apabila telah hampir pilihanraya umum ke 13. Mujur juga ada pilihanraya 5 tahun sekali.

Merasa juga jalan yang ditar setiap 5 tahun sekali. Bayangkan kalau tiada pilihanraya, alamatnya jalan bertanah merah la kita selama 50 tahun.

Walaupun jalan ini telah ditar, namun kawasa melintas untuk pejalan kaki tidak dicat semua dengan garisan zebra. Jadi agak sukar untuk orang ramai melintas.

Malah ketika tinjauan dilakukan, walaupun lampu isyarat merah kereta tetap juga laju seolah-olah tidak memberi peluang kepada pejalan kaki.

Lebih merisaukan lagi, kawasan sekitar ini terdapat Sekolah TInggi St. David dan juga rumah kebajikan orang tua-tua sekitar sini..

Agak-agaknya adakah sebelum atau selepas PRU perkara ini boleh selesai?



Thursday, 7 February 2013

Pendedahan Anak tarik peneroka bersama Pakatan


SIK: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Negeri Kedah mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Daerah Sik kerana membenarkan Presiden Anak, Mazlan Aliman berucap selama satu jam berpentaskan kenderaan pacuan empat roda di Felda Teloi Timur, malam semalam.

Ini, kata Pengerusinya, Zolkifli Abu Seman menyebabkan pihak pengurusan Felda bersama samseng Umno yang sebelum itu bising terus diam mendengar apa yang mereka tidak tahu selama ini.
Beliau berkata, sikap polis yang profesional menghalang segelintir pihak pengurusan Felda Teloi Timur dan samseng Umno wajar dipuji kerana hasilnya Anak dapat juga memberikan penerangan walaupun ia ditentang keras oleh sekumpulan mereka yang agresif di pintu masuk Felda berkenaan.

Menurutnya, mungkin peristiwa semalam menggamit ramai peneroka Felda keluar untuk melihat dan mendengar sendiri apa yang diperkatakan pada ceramah tersebut.

Jika selalunya kata Zolkifli, apabila ceramah di kawasan Felda yang hadir tidak sampai 400 orang tetapi malam semalam melebihi 1,500 orang termasuk samseng Umno.

Jelasnya, fakta yang diberikan oleh Mazlan akhirnya memukau para hadirin apabila suasana yang sebelum itu penuh dengan maki hamun, kata-kata nista kepada PAS dan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak akhirnya bertukar sepi, seolah-olah mereka tertarik dan ingin tahu perkembangan Felda masa kini.

"Bersyukur kepada Allah s.w.t kerana walaupun tidak boleh memijak kaki ke dalam FeldaTeloi Timur dapat juga berada di pintu masuk. Apa yang penting ialah kesan di sebalik perbuatan berkenaan," terangnya.

Beliau tidak menyalahkan peneroka sebaliknya lebih kepada Umno dan pentadbiran Felda yang bertindak menutup isu daripada pengetahuan mereka.
Jika pendedahan demi pendedahan Anak dapat dilakukan, beliau yakin peneroka akan bersama Pakatan Rakyat.

Sumber: Harakahdaily

Tuesday, 5 February 2013

Surat burukkan PAS dihantar kepada penduduk cina di sekitar Melaka


Tindakan pihak tertentu yang menghantar surat dari rumah ke rumah yang mengandungi gambar berita bendera DAP dipijak oleh pihak tertentu yang kononnya daripada PAS dilihat sebagai tindakan terdesak yang tidak menguntungkan rakyat.

  Freddie Lim Seong Ho, Timbalan Ketua Penerangan PKR Melaka menyeru kepada pihak terbabit menghentikan tindakan yang tidak menguntungkan rakyat.

"Jika mereka matang, mereka harus menyahut debat diantara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, bukannya menyebarkan surat sebegini" Ujar beliau.


Beliau mengutuk tindakan sedemikian dan menyeru pihak terbabit menghentikan tindakan sedemikian dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Keadilan Taman Asean.


Yusof Wahab, Ketua Penerangan PAS Bukit Katil berkata tindakan ini merupakan fitnah dan ianya tidak adil kepada PAS. 


Beliau memaklumkan terdapat pihak-pihak tertentu yang dipergunakan oleh UMNO bagi memecahbelahkan parti dalam Pakatan Rakyat.


"Hubungan diantara PAS-DAP adalah kukuh, malah hubungan antara PAS dan rakyat telah merentasi agama, bangsa dan bahasa.


Perbezaan pendapat diantara PAS dan DAP ditangani dalam keadaan yang cukup harmoni.


"Tuan Guru Nik Aziz bertemu dengan Karpal Sigh di rumah beliau baru-baru ini di Pulau Pinang, malah memotong kek persahabatan".


"Begitu juga dalam isu kalimah Allah, Tuan Guru Nik Aziz telah mengadakan pertemuan dengan Bishop Wilayah Utara, Sebastian Josef berlangsung dalam keadaan harmoni"


"Oleh itu saya melihat ada pihak yang dipergunakan oleh UMNO/BN untuk memecahbelahkan kesepakatan diantara PAS-DAP-PKR" Ujar beliau lanjut.


Sidang media itu turut dihadiri oleh saudara Gui Tek dari DAP dan aktivis dari pelbagai parti. - admin




Monday, 4 February 2013

Mangsa kemalangan perlukan bantuan dan pembelaan wakil rakyat BN


Akibat dari kemalangan tujuh bulan lalu, Baharom Mat Jamin mengalami kecederaan yang parah dimana bahagian pinggang patah patah tiga, rahang patah dan tangan kanannya hancur.

Beliau juga kadang-kadang mengalami keadaan hilang ingatan impak dari kemalangan tersebut.

Beliau memaklumkan, kos untuk rawatan tangannya mencecah RM3600 manakala rahang giginya hampir RM960

Beliau yang satu-satunya sumber pendapatan keluarga kini tidak lagi mampu melakukan kerja kerana keadaan beliau yang belum sembuh sepenuhnya kini tiada punca pendapatan

Beliau dan isteri memaklumkan bahawa sebelum ini ada memohon bantuan dari PEMBELA BN beberapa bulan lepas, namun sehingga hari ini masih tiada jawapan. Beliau juga turut memaklumkan telah pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat juga tiada jawapan yang diberikan.

Beliau sebelum ini yang bekerja sebagai mandor disebuah syarikat swasta juga tidak dapat mengeluarkan simpanan KWSP-nya disebabkan laporan penuh perubatannya belum dapat dibuat kerana beliau masih dalam rawatan. Beliau mempunyai dua orang anak yang salah seorangnya menuntut di IPT.

Beliau kini menyewa di No.15, Jalan M-14, Taman Merbok, Bukit Katil yang juga sebaris dengan rumah Ahli Parlimen Bukit Katil, YB Datuk Mat Sirat Abu. Diharap Ahli Parlimen Bukit Katil dapat turun padang menziarahi sendiri saudara Baharom ini.


Sunday, 3 February 2013

"PAS tidak akan dipatuk dari lubang yang sama lagi"


AMPANG: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan jaminan tidak akan mengkhianati amanah rakyat untuk terus kekal bersama dengan Pakatan Rakyat dan sekali-kali tidak akan bekerjasama politik dengan Umno.

"Kita sudah bekerja sama sebelum ini dan kita telah dikhianati. Kita tidak akan adakan sebarang kerjasama politik lagi dengan Umno.

"Kita tidak akan dipatuk melalui satu lubang yang sama sekali lagi," kata beliau di hadapan 300 tokoh-tokoh yang merupakan ahli baru PAS di Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS di hotel De Palma, Ampang hari ini.

Ustaz Hadi memberikan janji ini berikutan usaha Umno dan pelbagai pihak yang tidak putus-putus cuba memecahkan PAS dari Pakatan Rakyat. Namun katanya, PAS boleh bekerjasama dengan Umno dalam bidang lain termasuk untuk membela rakyat Palestin sebagaimana yang dibuat sebelum ini.

Beliau yang penuh bersemangat dan memberikan ucapan panjang di himpunan hari ini kelihatan sangat gembira dengan muka-muka baru yang beliau lihat dalam majlis hari ini.

(Bergambar kenangan bersama kepimpinan PAS)


Turut serta bersama beliau adalah hampir kesemua pimpinan kanan PAS termasuklah timbalannya Haji Mohamad Sabu, naib-naib Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah Pilihan Raya Dr Hatta Ramli juga hadir.

Pelbagai golongan ahli baru PAS hadir dalam progam julung-julung kali diadakan termasuklah golongan akademik, profesional, agamawan, mahasiswa, artis dan ramai lagi.

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong, bekas Ahli MT Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Tamrin Ghaffar turut hadir.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Himpunan tersebut. Majlis dipengerusikan oleh ahli baru PAS iaitu bekas pelakon dan pengacara terkenal Bob Lokman.

Dalam ucapannya, Ustaz Hadi mengajak ahli khasnya yang baru menyertai PA agar menunjukkan budaya Islam di samping mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menuju perubahan yang pasti akan berlaku.

Katanya, PAS tidak pernah mengkianati demokrasi yang menjadi amalan negara ini dan melalui inilah PAS mahukan sistem pilihan raya yang adil.

"Kita memilih demokrasi tulen, dan inilah yang diseru oleh agama Islam," katanya.

Abdul Hadi juga menegaskan kerajaan yang menegakkan Islam sebaik-baiknya, Melayu akan selamat tetapi sebaliknya Islam tidak semestinya selamat jika menegakkan Melayu.

Malah katanya, Islam sendiri menegaskan bahawa raja mesti diperkasakan dengan penasihat-penasihat yang adil.

"Islam menerima sistem beraja dengan syarat mesti adil dan berpandukan kepada hukum Allah dan Al-Quran," katanya.

Apa yang dikesalkan, lebih 50 tahun Umno BN mentadbir negara ini, Abdul Hadi menyifatkan orang Melayu sudah ketinggalan tentang kefahaman Islam apatah lagi orang bukan Islam pula tidak 'nampak Islam' yang sebenar.

Tetapi katanya, sejak PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP mereka di kalangan orang Cina sudah mula membaca buku-buku Islam termasuklah Al-quran.

Justeru Abdul Hadi percaya sekiranya Islam dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh mesej yang akan disampaikan kepada bukan Islam akan tercapai.

Sumber: Harakahdaily

Friday, 1 February 2013

Bukit Baru: Pesakit tulang belakang perlukan pembelaan


Essuradarma bin Zahari yang bekerja di kilang elektronik Possehl Electronics Sdn. Bhd, Batu Berendam merayu supaya pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah yang beliau hadapi.

Beliau menghadapi sakit tulang belakang sejak 2005 yang lalu, dan masalah itu kembali berulang dan bertambah teruk terutamanya awal 2012 yaang lalu.

Sehingga hari ini beliau sudah 3 bulan tidak bekerja dan menjalani rawatan tulang belakang yang menelan belanja berjumlah RM35,000.

Beliau yang tinggal di alamat 9854-1 Jalan Demang Hussin berharap pihak pengurusan kilangnya dapat menguruskan pampasan SOCSO dan pencen ilat secepat mungkin. Beliau memaklumkan bayaran terakhir untuk gaji beliau berakhir pada 31 Mac ini.

Beliau turut memaklumkan berasa kecewa dengan pegawai di bahagian keselamatan kilangnya yang seolah-olah lambat menghantar laporan kepada SOCSO.

Beliau memaklumkan beliau sudah tidak mampu untuk bekerja mengangkat beban yang berat lagi memandangkan tahap kesihatan beliau yang tidak mengizinkan.