Pages

Friday, 31 August 2012

Melaka: Countdown Kemerdekaan Janji Bersih


Lebih daripada 2500 orang hadir ke countdown kemerdekaan kali ke 55 Janji Bersih dekat Banda Hilir malam tadi. Perhimpunan itu berlangsung berhampiran Menara Jam Rumah Merah, dekat sini.

Kehadiran masyarakat pelbagai kaum telah memberi isyarat perubahan akan berlaku di negeri Melaka ini.

Sebanyak 2500 bendera Jalur Gemilang telah habis diedarkan kepada para peserta Janji Bersih.

Pembesar suara dan skrin yang ditempatkan disitu oleh Barisan Nasional dengan suara yang kuat akhirnya tidak berfungsi, Usaha untuk membuat kacau oleh Barisan Nasional tidak berjaya. Suara Ketua Menteri, Mohd Ali Rustam akhirnya tidak dapat didengari di situ.



Thursday, 30 August 2012

Kemerdekaan: Bendera BN lagi banyak dari bendera Malaysia


Walaupun tinggal dua hari sahaja menjelang sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ke 55, bendera Barisan Nasional lebih banyak berbanding dengan bendera Malaysia di sepanjang jalan AMJ terutamanya di kawasan Cheng dan sekitar Malim.

Walaupun telah banyak aduan yang dilakukan, tetapi PBT seolah-olah enggan bertindak terhadap BN dan UMNO.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Low Chee, Lim Seong Ho dan Yusof Wahab, Barisan Nasional hanya mementingkan parti mereka sahaja dan tidak mempunyai semangat patriotisme dan tidak berhasrat untuk menjadi kerajaan untuk semua lapisan masyarakat.

"Pengibaran bendera parti politik sebelum pilihanraya adalah bercanggah dengan Akta Pilihanraya 1954, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Pilihanraya (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) 2010" ujar mereka.

Sehubungan itu mereka mendesak supaya MBMB menurunkan atau mencabut bendera-bendera BN, UMNO dan bendera 1Malaysia dan digantikan dengan Jalur Gemilang sebelum 31 Ogos akan datang.

Tuesday, 28 August 2012

Seruan Ali Rustam tidak dipedulikan?


Akbar Melaka melaporkan Ketua Menteri menyahut satu juta warga Melaka supaya dapat mengibarkan Jalur Gemilang di premis serta kenderaan masing-masing.

Tetapi tinjauan mendapati, seruan tersebut disambut dengan begitu hambar sekali jika dilihat pada bangunan-bangunan swasta dan kenderaan yang terdapat di sekitar Melaka. Seruan Ketua Menteri itu seolah-olah tidak dipedulikan itu mungkin berpunca daripada tindakan UMNO/BN memanopoli dan mempolitikkan sambutan kemerdekaan dengan menggunakan tema "Janji Ditepati".

Tinjauan yang dilakukan di persimpangan Duyung-Bukit Baru juga, menunjukkan tiada satupun kenderaan yang lalu lalang memasang bendera Jalur Gemilang.

Rakyat sayangkan negara ini, dan segala lambang kebesarannya, tetapi rakyat muak dan meluat terhadap kerajaan BN yang memerintah sekarang ini. Jadi apabila arahan Ketua Menteri pun tidak lagi dipedulikan oleh rakyat, eloklah kerajaan yang ada ini turun saja dari takhta.

Bukti Kebangkitan Rakyat Melaka


Malam Seribu Bintang, Seribu harapan yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Dun Bukit Baru Sabtu lepas telah membuktikan kebangkitan rakyat negeri Melaka.

Kehadiran masyarkat pelbagai kaum ke program tersebut membuktikan mereka tidak lagi takut untuk memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Masyarakat cina tidak lagi takut-takut untuk memberi sokongan kepada PAS.

Jelas sekali rakyat Melaka sekarang dahagakan perubahan setelah sekian banyak pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional yang sedia ada.

Seluruh barisan kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Melaka dari ketiga-tiga parti  ke program tersebut membuktikan kerjasama yang erat.

Program tersebut turut menampilkan Aisyah dan juga Bob Lokman sebagai tetamu undangan.

Wednesday, 15 August 2012

Seksyen 114A: Undang-undang Kandang Lembu?



Kalau kita ini tuan kedai, dan kita tangkap seorang anak muda mencuri coklat, kemudian mahu didakwa anak muda itu di mahkamah; adalah menjadi tanggungjawab tuan kedai untuk membuktikan bahawa coklat yang yang dicuri itu miliknya, dan hak milik itu dirampas tanpa izinnya. Mudah begitu.

Kalau kita ini tuan kedai, dan ada anak muda lalu di depan kedai kita dengan memegang sekeping coklat yang kebetulan dijual di kedai kita, adalah tidak masuk akal untuk kita mengheretnya ke mahkamah dan menyuruh si anak muda itu untuk membuktikan bahawa coklat yang dipegangnya itu tidak dicuri dari kedai kita.

Ini undang-undang mudah. Arwah Tan Sri Harun Hashim, apabila disoal tentang apa itu undang-undang dalam fahamnya, beliau menjawab bahawa undang-undang itu ‘common sense‘. Bukan setakat ‘common sense‘ dalam erti kata sesuatu yang ‘masuk akal’, bahkan mencakupi apa yang dipanggil ‘kesepakatan umum’.

Undang-undang mesti masuk akal dan disepakati umum

Undang-undang dibentuk atas sesuatu yang disepakati umum. Kalau umum tidak sepakat, ia tidak jadi norma dan lantas tidak cukup haul untuk diangkat sebagai umum. Kenyataan ini masuk akal. Kalau pekerjaan mencuri itu disepakati umum sebagai satu kesalahan, maka salahlah mencuri itu.

Kalau pekerjaan pakai kasut di kepala itu disepakati sebagai salah, maka bolehlah dikanunkan dan dijadikan undang-undang. Itu konsep kesepakatan umum dalam memahami makna fungsi undang-undang.

Jadi dalam kesepakatan umum selama ini, seorang yang dituduh dengan sesuatu kesalahan adalah tidak bersalah sehingga benar-benar terbukti bahawa dia bersalah; bukan sebaliknya.

Konsep ini difahami pepatah undang-undang, Ei incumbit probatio qui dicit, non qui negat; cum per rerum naturam factum negantis probatio nulla sit – yang mafhumnya ialah beban bukti letaknya pada yang mendakwa, bukan pada yang dituduh atau menafi, kerana memang fitrahnya, yang menafikan dakwaan selalunya payah untuk membawakan bukti.

Jika sebaliknya, maka memang terbaliklah sistem manusia ini. Bayangkan, siapa sahaja boleh ditangkap polis, untuk apa sahaja kesalahan sehingga dia boleh buktikan yang dia tidak bersalah.

Sistem yang begitu pastilah tidak adil, bukan?

Namun malang bagi kita yang mendiam di negara Malaysia yang diterajui United Malays National Organisation ini, pihak pemerintah sedang cuba berfikir dan bertindak secara tidak adil. Ini sebenarnya amat mudah bagi mereka, kerana memang sudah menjadi kelaziman bagi pemerintah untuk berlaku zalim.

Lihat sahaja undang-undang jahat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu yang membenarkan sesiapa sahaja ditangkap dan dipenjara tanpa perlu dibicarakan.

Jadi pemerintah yang nakal ini beberapa bulan lalu telah membuat sebuah pindaan kepada Akta Keterangan 1950 yang membuatkan dunia kita semua bakal terbalik. Pindaan tersebut dikenali sebagai Seksyen 114A.

Apa itu Seksyen 114A?

Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang dibentangkan di parlimen April lalu dan telah digazetkan pada 31 Julai 2012. Tujuan seksyen ini dipinda katanya adalah khas untuk bertindak terhadap bahan-bahan ‘berbahaya’ di internet. Pindaan tersebut memudahkan pihak berkuasa mendakwa mana-mana pihak yang menyiarkan sesuatu yang memfitnah atau menghasut di internet.

Pindaan terbaru ini meletakkan kebertanggungjawaban kepada pemilik atau penyelaras blog, forum yang membolehkan orang lain menyiarkan komen; pembekal internet dan pembekal webhosting serta mereka yang memiliki komputer atau alat untuk menyiarkan bahan secara online.

Sebagai contoh sekiranya ada apa-apa kenyataan fitnah yang boleh dijejak kembali kepada kata laluan anda, atau alat elektronik anda, bahkan rangkaian internet rumah anda; Seksyen 114A memberi tanggapan bahawa anda bersalah sehingga anda dapat membuktikan sebaliknya. Ini bersalahan dengan tanggapan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah seperti yang menjadi amalan kehakiman selama ini di seluruh dunia.

Justeru pindaan gila ini secara tidak adil memindahkan beban bukti kepada pengguna internet yang mungkin didakwa secara salah, untuk sebarang kenyataan fitnah atau menghasut yang terbit daripada rangkaian internetnya. Malah pentadbir forum-forum juga boleh dikenakan tindakan untuk kenyataan-kenyataan yang diterbitkan di laman forum mereka.

Apa yang lebih buruk ialah seandainya rangkaian internet seseorang digodam dan digunakan untuk menyiarkan bahan-bahan tersebut.

Inilah yang bakal berlaku…

Bayangkan seorang nenek yang sendirian di rumah, hanya guna internet untuk buka YouTube buat belajar memasak atau mengait; tiba-tiba sahaja pintu rumahnya diketuk polis. Mengapa? Kerana ada kenyataan yang menghasut diterbitkan dari rangkaian WiFi rumahnya yang digodam orang.

Jadi pindaan sebegini ini adalah gila dan tidak masuk akal. Undang-undang begini adalah undang-undang bobrok dan zalim yang mengekang kebebasan bersuara rakyat jelata.

Pemerintah yang mengekang kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik ini adalah pemerintah yang selayaknya dihumbankan ke jurang paling dalam apabila selesai sahaja Pilihanraya Umum akan datang.

Kesannya nanti, orang akan takut untuk bersuara dan tidak lagi berani mengkritik. Malah blog-blog juga akan terpaksa menapis komen-komen dengan lebih tegas. Apa dia garis pemisah antara fitnah, hasut dengan ayat-ayat kritikan dan penegasan untuk mencabar pemerintah yang menzalimi rakyatnya? Ini semua hanya berhak ditafsirkan oleh pemerintah sendiri.

Maka akan takutlah sekalian hamba rakyat untuk mempersoal tindakan pemerintah. Akan tutuplah WiFi percuma di tempat-tempat lepak awam, risau rangkaian internetnya nanti digunakan untuk menulis ayat-ayat bahaya yang menggugat pemerintah. Di mana lagi kami semua nak lepak minum the tarik nanti kalau sudah tak ada WiFi percuma?

Bukan sahaja media massa dikawalnya, internet juga mahu dikawalnya. Ini pemerintah jenis apa ini?

Tetapi apabila pecacainya sendiri menyiarkan fitnah dan tohmah, kebal pula mereka itu daripada tindakan undang-undang. Lihat sahaja bagaimana mereka menggerakkan tentera siber dan media sosialnya untuk memfitnah dan menyebar berita palsu secara berleluasa, dan tidak pula memberi ruang untuk diskusi dan jawapan balas.

Ini halal pula? Tidak pula dihukum kafir harbi? Undang-undang tidak menyalahkan mereka? Ini undang-undang apa? Undang-undang kandang lembu? Mungkin lembu lebih mulia daripada segelintir manusia kemaruk kuasa yang berhati busuk serta zalim kerana sanggup mengongkong rakyat sendiri. – Roketkini.com

Tuesday, 7 August 2012

Kilang Ekzos Hangus Terbakar



ALOR GAJAH - Sebuah kilang pembuatan dan penyimpanan perkakasan ekzos kenderaan musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Kelemak, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira 3 pagi itu disedari dua pekerja kilang bertentangan, Khairul Qayyum Sulaiman, 26, serta rakannya, Mohd Azri Taha, 31, yang keluar berehat sebelum menyedari terdapat api dari kilang berkenaan.

Mohd Azri dikatakan terlihat percikan api kecil berserta asap dari bahagian belakang kilang berkenaan sebelum memaklumkan kepada penyelianya, Bejan, 36, yang ketika itu berada di dalam kilang.

Menurut Bejan, ketika itu api sudah marak menjadikan keadaan sekeliling bahang, menyebabkan dia terus menjerit ke arah kilang terbabit bimbang ada pekerja di dalam.

“Kami berlari ke arah kilang itu dan menjerit sekuat hati meminta semua pekerja yang ada keluar. Namun, selepas diperhati, tiada pekerja di dalam kilang pada waktu malam kerana beroperasi pada waktu pejabat.

“Dalam keadaan kelam kabut, lebih sepuluh letupan dari dalam kilang berkenaan, diiringi bunyi perkakasan dalam kilang itu yang terbakar," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Penguasa R. Bajiyen berkata, enam jentera membabitkan 35 anggota dari Balai Bomba Jalan Kubu, Balai Bomba

Tangga Batu dan Balai Bomba Alor Gajah dikejarkan ke tempat kejadian.

“Operasi turut menggunakan khidmat jentera Ten Table Ladder (TTL) untuk memadam api dari atas,” katanya.

Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kilang berhampiran kira-kira 4.45 pagi dengan menggunakan buih sabun.

Ini kerana, katanya, terdapat campuran getah dan minyak dalam kilang berkenaan.

"Bagaimanapun, punca kejadian dan anggaran kerugian, masih dalam siasatan," katanya.

S/H

Wednesday, 1 August 2012

Minta SPRM Siasat



Timbalan Ketua Penerangan PAS Melaka, Yusof Wahab dan ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong memberitahu isu berkaitan tanah awam yang berlaku di Bandar Bukit Baru telah berlaku kepada beberapa individu yang lain. Individu terbabit mengadu bahawa tanah mereka telah diambil atas nama untuk tujuan kepentingan awam seperti yang berlaku di Bandar Bukit Baru.

Mangsa terbabit memberitahu tindakan kerajaan negeri yang mengambil tanah tidak mengikutncara yang betul dan menyalahgunakan tanah awam terbabit bagi tujuan pembangunan serta tidak selari dengan telah dipersetujui oleh pemilik tanah terbabit. Kerajaan negeri dengan kuasa yang ada telah menindas mereka.


Laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat di Pejabat SPRM di Crystal Bay, Telok Mas pada jam 11.00 pagi meminta pihak SPRM masuk campur dan menyiasat supaya perkara ini ataupun tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri tidak mempunyai unsur-unsur rasuah.

Tujuan laporan kepada SPRM supaya kerajaan negeri tidak lagi sewenang-wenangnya mengambil tanah milik rakyat atas nama tujuan tanah awam sebaliknya menjadikan tanah rakyat itu sebagai tanah komersil tanpa menjelaskan perkara yang sebenar kepada pemilik tanah,

Sekarang sudah ramai yang khuatir terutama yang tinggal di tepi-tepi jalan atau tempat yang strategik akan menerima nasib yang sama seperti yang berlaku kepada kepada tuan tanah yang sebelum ini. Mereka juga bimbang akan menerima nasib yang sama pada masa akan datang sekiranya tanah mereka diambil oleh kerajaan dan menyalahgunakan Akta Pengambilan Tanah.

Sumber: PAS Melaka