Pages

Monday, 31 October 2011

Ucapan Penyelia DUN Sempena Sambutan 60 Tahun PAS Melaka


Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh. Bersempena dengan sambutan 60 tahun PAS yang dianjurkan di Melaka pada malam esok, saya selaku Penyelia DUN Bukit Baru ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS Negeri Melaka kerana menjadikan DUN Bukit Baru sebagai tuan rumah majlis makan malam tersebut iaitu berdekatan Jalan Duyong-Bukit Baru.

Pada majlis yang bakal berlangsung pada malam esok akan turut dihadiri pemimpin tertinggi dari PAS, PKR dan DAP. Pemimpin PAS diwakili oleh Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dan Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga merangkap AJK PAS Pusat, Dato Seri Nizar Jamaluddin serta Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari.

Wakil-wakil dari PKR pula akan menampilkan Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku Pengerusi PKR Negeri Melaka dan Pengerusi DAP Negeri Melaka yang juga merangkap ADUN Kesidang pula diwakili oleh, YB Goh Leong San.

Saya mewakili Pesuruhjaya PAS Melaka mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membeli kad berjumlah RM30 sempena majlis makan malam tersebut dan sebahagian daripada pembelian kad itu akan disumbangkan ke dana Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang. 

Sumbangan saudara dan saudari adalah penting memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 akan diisytiharkan pada bila-bila masa oleh Perdana Menteri. Selain itu, pungutan derma turut akan dilancarkan pada malam itu untuk tujuan kutipan yang sama.

Semua dijemput hadir bagi memenangkan seberapa banyak kerusi PAS yang bertanding dalam negeri Melaka ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang. Pemimpin PAS sebelum ini ada menyatakan bahawa duit PAS sebenarnya ada dalam kocek ahli-ahli PAS itu sendiri. Jadi, PAS mempunyai dana yang dipegang oleh ahlinya sendiri dan bila tiba Pilihan Raya, maka dana dalam kocek akan dikeluarkan.

Tentatif program untuk malam esok adalah seperti berikut yang mana jamuan bermula jam 8.00 malam sehingga jam 9.00 malam. Ucapan dari pimpinan akan bermula jam 8.15 malam serentak dengan majlis makan malam dan dijangka tamat jam 12.00 tengah malam.

Ucapan bermula jam 8.15 malam dimulai dengan 

1) Pengarah Program - Azrin Abdul Majid
2) Pesuruhjaya PAS Melaka - Hj. Adly Zahari
3) Pengerusi DAP Negeri Melaka - YB Goh Leong San
4) Pengerusi PKR Negeri Melaka - Shamsul Iskandar Mohd Akin
5) AJK PAS Pusat - Dato Seri Nizar Jamaluddin
6) Timbalan Presiden PAS - Mohammad Sabu 

Friday, 28 October 2011

Apa Kelebihan Bangunan?



Bangunan ini terletak berdekatan dengan masjid Bukit Baru berdekatan lampu isyarat simpang tiga. Pada artikel sebelum ini telah dirungkai mengenai bangunan yang akan dirobohkan ini. Namun ia dilakukan sedikit demi sedikit. Selepas beberapa minggu, bangunan yang lain telah tersungkur menyembah bumi untuk didirkan bangunan baru di situ.

Sehingga ke hari ini, bangunan ini masih lagi teguh berdiri walaupun bangunan di sebelah dan belakangnya telah dirobohkan. Sepatutnya bangunan di kawasan tersebut perlu dirobohkan atas arahan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan tersebut dan yang menjadi persoalan sekarang mengapa ia tidak dirobohkan serta apakah kelebihan bangunan itu kepada kerajaan negeri?

Umum juga mengetahui bahawa bangunan tersebut perlu dirobohkan. Dikala bangunan lain telah ranap dimamah jentolak, bangunan istimewa ini seakan-akan dibiarkan dan mungkinkah kerana bangunan itu akan digunakan dalam pilihan raya ke-13 nanti? Bangunan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional ini tidak pun beroperasi tetapi 'kuasa' yang ada padanya terus gah berdiri.

Ini tidak adil kepada mereka yang dipaksa berpindah semata-mata ingin memenuhi kehendak kerajaan negeri supaya berpindah namun disebalik mereka dipaksa berpindah, ada bangunan yang dibiarkan tidak dirobohkan. Adakah pihak kerajaan Melaka bimbang sekiranya Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional ini dirobohkan, maka Barisan Nasional Melaka akan turut tumbang pada pilihan raya yang akan datang.

Keistimewaan itu juga menyerlahkan sikap talam dua muka kerajaan negeri terhadap rakyat. Rakyat terpaksa mengikut kehendak kerajaan namun kerajaan pada masa yang sama menjadikan parti itu milik kerajaan sedangkan parti dan kerajaan adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun Barisan Nasional tumbang, kerajaan tetap wujud dan yang tumbang ialah parti.

Senario kekeliruan ini telah ditanam dalam masyarakat sehinggakan ada yang mengatakan bahawa kalau Barisan Nasional tumbang, tiada kemajuan yang akan dikecapi. Kita ambil contoh di China, walaupun negara tersebut tidak diperintah oleh Barisan Nasional ia tetap maju dan berdaya saing dalam mengejar kemajuan. Tetapi lain di Malaysia, sikap berdaya saing ini telah disekat dan Barisan Nasional menganggap bahawa hanya mereka yang boleh beri kemajuan.

Jalan raya, lampu jalan, sekolah, kemudahan hospital dan sebagainya itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk membinanya. Ia bukan kebajikan tetapi keperluan untuk rakyat. Tetapi masyarakat ada yang tidak faham bahawa semua kemudahan itu diberikan oleh kerajaan dan bukannya Barisan Nasional. Ini yang menyebabkan rakyat sering keliru dan ditekan habis-habisan. 

Kita harapkan kerajaan negeri telus dalam memberikan keadilan kepada rakyat dan tidak mengamal sikap talam dua muka. Hanya rakyat dapat menilai keikhlasan kerana kuasa penentu di tangan rakyat dan bukannya ditangan pemimpin Barisan Nasional.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Thursday, 27 October 2011

Bukti Kerajaan Melaka Mengagungkan Penjajah


Bermula semalam 26 Oktober 2011 hingga 29 Oktober 2011, kerajaan Melaka mengadakan sambutan 500 tahun penjajahan Portugis di Bumi Melaka. Lokasi sambutan itu bertempat di Portuguese Settlemen, Melaka dan acara bermula dari jam 10.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah malam.

Pengajuran tersebut menggalakkan pelancong untuk datang ke Melaka yang diiktiraf sebagai Bandar Warisan oleh UNESCO tetapi pada masa yang sama ia memberi kesan kepada industri perhotelan kerana cukai yang dikenakan kepada pelancong adalah caj lima peratus untuk cukai warisan dan enam peratus bagi cukai kerajaan.


Adakah dengan mengadakan sambutan seperti ini memberikan pulangan yang lumayan dan tindakan kerajaan seolah-olah meminggirkan perayaan dalam negara sendiri walhal semalam juga ada sambutan Deepavali tetapi sambutan 500 tahun penjajahan Portugis lebih diutamakan? Mana perginya slogan 1Malaysia yang menjadi sebutan pemimpin UMNO/BN?

Tetapi yang menjadi persoalan ialah kerajaan Melaka seolah-olah bangga dengan Melaka dijajah oleh Portugis. Sebelum ini kita ada mendengar dari seorang profesor yang mengatakan bahawa bumi Malaysia ini tidak pernah dijajah oleh kuasa asing dan sekarang ia telah dibuktikan oleh kerajaan Melaka bahawa bumi Malaysia ini telah dijajah selama 500 tahun. Akhirnya tindakan profesor itu menunjukkan beliau tidak cerdik dan buta sejarah.


Pengajuran perayaan sambutan 500 tahun ini juga dianggap membazirkan wang rakyat kerana ia bukan sambutan perayaan yang berkaitan dengan masyarakat dalam Melaka ataupun Malaysia sebaliknya mengagungkan perayaan yang dibawa oleh penjajah ke tanah air. Perayaan ini juga ada memberi kesan kepada kehadiran pelancong ke Melaka terutama yang menginap di hotel akibat cukai warisan yang dikenakan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA), Hendon Puteh berkata keadaan ini boleh menyebabkan pelanggan mengurangkan tempoh menginap dan mungkin juga ada di antara mereka yang akan membatalkan hasrat menginap di hotel kerana bayaran yang membebankan. Walaupun mendapat keuntungan lebih sedikit melalui caj itu tetapi untuk jangka masa panjang semua pemilik hotel akan mengalami kerugian besar apabila pelancong enggan datang ke sini.

Adakah pemimpin kita sayang akan kehadiran Portugis ini? Buktinya ialah tumbuhnya kelab malam bagai cendawan selepas hujan telah membuktikan segala-galanya dengan penjualan arak berleluasa, zina bebas dan tidak cukup dengan itu kerajaan Melaka melanjutkan waktu operasi hiburan sehingga jam 3.00 pagi dan untuk siapakah itu? Tindakan itu seolah-olah merosakkan anak bangsa akibat mengagungkan penjajah.

Tuesday, 25 October 2011

Jalan Tiada Sesudah Enam Buah Rumah Siap

Penyelia DUN Bukit Baru, Yusof Wahab dan Haji Jaya bersama tuan rumah

Di kampung Solok Sama Tahu, Bukit Katil, penduduk masih menunggu kemudahan infrastruktur seperti jalan raya di kampung tersebut memandangkan jalan tersebut masih lagi belum diturap sedangkan sudah ada enam buah rumah yang siap di bina. Keadaan jalan yang ditambah dengan keadaan tanah yang merah mendatang keadaan kurang selesa kepada penduduk di situ.

Nyemah Bt. Mohamad merupakan salah seorang penduduk di situ telah lama berpindah ke kampung tersebut dan sehingga ke hari ini pihak kerajaan seolah-olah tidak mengendahkannya yang telah berpindah berikutan menunaikan hasrat kerajaan supaya berpindah ke tempat baru setelah tempat lama telah di ambil untuk tujuan pembangunan.


Beliau terpaksa menyewa rumah selama enam yang mana kadar sewanya RM300 bagi setiap bulan dan untuk enam bulan jumlah keseluruhannya berjumlah RM1,800 di Lorong Undang seperti gambar di atas yang terpaksa dihabiskan untuk membayar sewa sedangkan mempunyia rumah yang telah siap di Solok Sama Tahu .

Jalan depan rumah

Jalan utama ke rumah Nyemah Bt. Mohamad



Beliau berharap pihak yang sepatutnya menunaikan permintaan supaya kemudahan utama jalan diselesaikan dengan segera kerana bukan sebuah rumah di dalam kampung tersebut serta kemudahan untuk keluar masuk. Paling tidak selesa bila keadaan hujan kerana lumpur turut mengalir di bawa oleh air hujan.

Monday, 24 October 2011

Punca Kerosakan Monorail Melaka


Pada tahun 2010 Melaka telah diisytiharkan sebagai Melaka Maju 2010. Pada tarikh berkenaan telah beroperasi monorel yang telah menimbulkan kontroversi dan persoalan kepada rakyat di negeri ini. Adakah monorel itu untuk orang ramai bagi tujuan memudahkan perjalanan atau sebagai industri pelancongan di Melaka semata-mata. Berikut adalah kerosakan yang dialami oleh monorel di Melaka.

Pada tarikh 20 Oktober 2010 jam 4.00 petang, monorel telah mengalami kerosakan iaitu di bahagian 'slip ring holder' telah tercabut dari kenderaan tersebut dan tindakan yang telah diambil bagi menangani masalah ini ialah dengan menggantikan 'slip ring holder' dengan yang baru pada hari yang sama iaitu 20 Oktober 2010 jam 10.00 malam.

Selang kurang daripada 48 jam dari tarikh menggantikan 'slip ring holder' itu pada 22 Oktober 2010 jam 9.30 pagi, kerosakan yang telah dikesan adalah dua batang skru telah patah dan tindakan yang telah diambil ialah menggantikan skru yang rosak itu dan pemeriksaan skru yang lain selesai dibuat pada hari yang sama iaitu jam 12.30 tengah hari.

Keesokan harinya pula iaitu pada 23 Oktober 2010 jam 10.00 pagi, kerosakan yang berlaku ialah pintu gerabak tengah tersangkut pada 'hand rail' Stesen Monorail Hang Tuah dan tindakan yang telah diambil ialah pintu gerabak siap dibaiki pada hari yang sama iaitu jam 1.00 petang. 

Namun ia tidak bertahan lama apabila kerosakan lain pula dikesan jam 6.00 petang hari yang sama selepas lima jam pintu dibaiki. Kerosakan itu adalah lima batang skru tayar pula pecah. Tindakan yang telah diambil ialah kerja-kerja menggantikan tayar dengan yang baru pada hari yang sama jam 11.00 malam sehingga jam 6.00 pagi 24 Oktober 2010. Pada jam 8.00 pagi 24 Oktober 2010, pengujian monorel dijalankan.

Kurang daripada 12 jam selepas monorel diuji pada 24 Oktober 2010 iaitu jam 7.30 malam, gerabak monorel telah melanggar 'stopper' di Stesen Monorel Hang Tuah. Kerja-kerja pembaikan dilakukan dan monorel siap dibaiki serta pengujian dilakukan bagi memastikan semua sistem dalam keadaan baik selesai pada 25 Oktober 2010 jam 1.00 petang pada hari yang sama.

Kurang dari seminggu kemudian iaitu pada 30 Oktober 2010 jam 3.40 petang, dua batang skru tayar pula patah dan kerja-kerja untuk menggantikan skru tayar berkenaan siap dilaksanakan pada hari yang sama iaitu jam 8.00 malam 30 Oktober 2010.

Dua kemudian iaitu pada 2 November 2010 jam 4.00 petang, kerosakan pada 'shaft' tayar gerabak tengah telah patah. Pada jam 2.00 petang pada keesokkan harinya iaitu pada 3 November 2010, 'shaft' tayar yang baru siap diganti dengan yang baru.

Selepas enam hari kemudian iaitu pada 8 November 2010 jam 6.00 petang, kerosakan baru pula berlaku iaitu sebatang skru telah patah dan skru baru siap diganti pada hari yang sama. Kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem monorel termasuk pengujian dijalankan oleh pembekal daripada China pada 15 November 2010 hingga 20 Disember 2010.

Lawatan pemeriksaan bagi penambahbaikan sistem monorel Melaka oleh Jabatan Keretapi Malaysia pada 21 Disember 2010 jam 12.00 tengah hari. Monorel telah beroperasi semula pada keesokan hari iaitu pada 23 Disember 2010 selepas diperiksa oleh Jabatan Keretapi Malaysia.

Kos untuk selenggara itu berjumlah RM16juta di mana merangkumi kos untuk Engineering dan Construction. Begitu hebat dan kencang duit rakyat dibazirkan pada monorel yang rakyat kebanyakkan tidak dapat menikmatinya.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Friday, 21 October 2011

Beginilah Nasib Sebagai Seorang Pengayuh Beca


Salah seorang pengayuh beca di Banda Hilir, Zulkifli B. Jani, 53, telah menceburi bidang beca ini semenjak tahun 1990 lagi. Sekarang sudah genap hampir 21 tahun beliau bekerja sebagai pengayuh beca di Melaka. Kalau dilihat dari segi hiasan beca, mungkin ramai yang mengatakan bahawa kehidupan mengayuh beca pelancong ini mendapat hasil yang lumayan namun ia tidak seperti yang kita jangkakan.

Sekarang beliau tinggal bersama dengan seorang isteri dan seorang anak yang berusia 12 tahun dengan hasil pendapatan dalam purata RM1,200 sebulan dan itu pun bergantung kepada acara atau perayaan yang boleh menyumbangkan kedatangan pelancong ke Melaka. Jika hari-hari biasa kata beliau, pendapatan agak sedikit perlahan berbanding dengan hari minggu atau cuti umum.

Beliau yang berasal dari Cheras dan sudah menetap di Melaka lebih kurang 21 tahun bermula ketika bekerja sebagai pengayuh beca ini. Kewujudan persatuan beca ini adalah semata-mata untuk mengenali sesama ahli dan sumber kewangan dari persatuan juga tidak diterima.

Selepas pembentangan bajet 2012 oleh Perdana Menteri, ia tidak membawa sebarang keuntungan kepada kami terutama yang bekerja sebagai pengayuh beca. Kerajaan Melaka juga tidak pernah mengambil berat kepada pengayuh beca dan sekadar untuk menaikkan industri pelancongan maka kami digunakan untuk menaikkan imej industri di pelancongan di Melaka dan Malaysia.

Buat masa ini kata beliau masih belum mendapat sumbangan daripada kerajaan Melaka. Beca hanya untuk menarik pelancong sahaja dan kebajikan kami pengayuh beca tidak diambil peduli oleh pihak kerajaan. Buat masa ini jumlah pengayuh beca adalah sekitar 100 orang termasuk mempunyai empat orang perempuan yang mana tiga orang adalah berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Serani.

Dulu kerajaan ada berjanji akan memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada persatuan namun sehingga ke hari ini belum ada hasilnya. Beca pula terpaksa dibeli sendiri dengan harga RM850 dan itu pada tahun 1990 tetapi sekarang harga beca telah mencecah harga RM2,000 seunit. Kos ganti tayar dan tiub pula dalam RM35 untuk tayar dan RM10 bagi tiub. Harga tayar beca sama mahal dari harga motor.

Ada juga dikalangan pemandu beca daripada pelajar berumur 13 dan 14 tahun. Pihak majlis tidak mengawal terhadap pelajar yang masih bersekolah memandu beca dan tiada lesen untuk mengayuh beca ini. Mereka juga cetek dalam selok-belok jalan untuk memberikan penerangan kepada pelancong. Pihak majlis sebenarnya mengetahui keadaan ini namun tidak diambil sebarang tindakan ke atas pelajar tersebut.

Syarat untuk menjadi pengayuh beca ialah mesti berumur 18 tahun dan ke atas. Kebanyakan pelajar tidak mempunyai lesen khas untuk mengayuh beca. Lesen beca dan lesen kayuh untuk 2 tahun dianggarkan berharga RM56. Lesen kayuh ialah lesen memandu. Dulu harga lesen beca ialah RM24 dan lesen kayuh ialah RM3.50. Jumlah untuk kedua-dua lesen itu ialah RM27.50. Ujian tersebut dilakukan oleh pihak majlis dan bukannya dari pihak JPJ.

Sumbangan lain adalah dari sebuah syarikat telekomunikasi Digi yang telah menaja ke semua beca di Melaka semenjak 8 tahun yang lepas. Digi menyumbang RM50 untuk hari raya. Digi juga memberi sumbagan sebanyak RM30 sebulan selepas ditolak RM20. Setahun Digi bagi RM240 dan tambah sekali ganda RM240 untuk menjadikan RM480 setahun. Ia bagaikan insentif kepada kami.

Pihak Digi juga mengadakan jamuan pada bulan Ramadhan dan juga pada musim perayaan. Selain itu, Digi memperuntukkan kepada setiap pengayuh beca sehelai baju T bagi setiap bulan. Maka untuk setahun kami dapat 12 helai baju T dari pihak Digi.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Thursday, 20 October 2011

UMNO Pernah Cuba Bayar Calon PAS Bukit Baru

Penyelia DUN Bukit Baru, Yusof Wahab dan Bekas calon PAS 2004 dan 2008, Hj. Bakrin

Hj. Bakrin Bin Hj. Sidek merupakan Yang DiPertua PAS kawasan Bukit Katil pada tahun 2007-2008 merangkap Timbalan Pesurujyaya Tiga PAS Melaka pada ketika itu kemudia bertanding dalm politik tanah air pada tahun 2004 dan 2008 menentang calon Barisan Nasional, Datuk Seri Ali Rustam.

Pada tahun 2004, Hj. Bakrin Bin Hj. Sidek mewakili PAS tewas kepada Ketua Menteri Melaka hari ini iaitu Datuk Seri Ali Rustam yang mewakili Barisan Nasional dengan majoriti 5,992 undi. Pada ketika itu Hj. Bakrin Bin Hj. Sidek mendapat 2,266 undi manakala Datuk Seri Ali Rustam mendapat 8,258 undi dengan jumlah pemilih berdaftar ketika itu sebanyak 13,509.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008 pula, Hj. Bakrin Bin Hj. Sidek sekali lagi menentang Datuk Seri Ali Rustam dalam pentas pilihanraya yang mana Hj. Bakrin Bin Hj. Sidek tewas dengan majoriti 2,708 undi. Hj. Bakrin Bin Hj. Sidek mendapat 4,936 undi manakala Datuk Seri Ali Rustam mendapat 7,644 undi dengan pemilih berdaftar sebanyak 15,904.


Ketika mula bertanding pada tahun 2004, ada wakil dari UMNO telah datang berjumpa dengan ibu mentua Hj. Bakrin supaya menantunya (Hj. Bakrin) menarik diri dari pencalonan dan ditawarkan dengan sejumlah wang kepada ibu mentuanya. Apabila ditanya oleh ibu mentuanya mengenai kehadiran wakil dari UMNO itu, Hj. Bakrin tidak berganjak dan akan terus bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Hj. Bakrin memanggil wartawan Harian Metro menceritakan bahawa kejahatan Datuk Seri Ali Rustam menghantar orangnya supaya beliau menarik diri dalam bertanding pilihan raya. Datuk Seri Ali Rustam juga dalam satu kenyataan ingin menyaman Harian Metro mengenia isu ini namun sampai hari ini sepi tanpa sebarang berita mengenai samannya itu.

Pada pilihan raya akan datang, Hj. Bakrin tidak akan bertanding tetapi akan memberi sokong sepenuhnya kepada mana-mana calon PAS yang diletakkan untuk bertanding di DUN Bukit Baru ini  walaupun ada tali barut UMNO menyatakan beliau kecewa kerana tidak dicalon kali ini dan mengajak Hj. Bakrin menyertai UMNO. Walaubagaimana pun, Hj. Bakrin tetap akan menyokong PAS.

Wednesday, 19 October 2011

Apakah Motif Menutup Jalan Ini?

Fatimah Bt. Hassan dan ibunya Mah Bt. Kabul

Seorang tukang andaman pengantin Fatimah Bt. Hassan, 62, yang tinggal berdekatan dengan Taman Bukit Katil Permai, Bukit Katil begitu kecewa dengan tindakan menutup jalan di depan rumahnya sekaligus menyekat periuk nasinya untuk mencari rezeki. Turut tinggal bersama Puan Fatimah adalah ibunya, Mah Bt. Kabul yang berusia 78 tahun.

Beliau yang sebelum ini sudah banyak memohon supaya jalan di depan rumahnya itu tidak ditutup namun tidak diendahkan oleh pihak kerajaan. Liputan media sebelum ini pernah memuatkan isu berkaitan jalan di hadapan rumahnya ini. Antara media yang pernah datang membeuat liputan ini ialah Sinar Harian, Haian Metro dan Melaka Hari Ini namun tidak ada apa tindakan yang diambil.

Apabila isu ini berlegar di dalam ruang Sinar Harian, barulah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ali Rustam kelam kabut untuk menyelesaikan masalah namun ia hanya bersifat sementara sahaja Pembinaan jambatan ini sudah genap setahun namun sehingga hari ini belum ada apa-apa pampasan yang diterima oleh pihaknya akibat penutupan jalan itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam ada berjanji dengan beliau untuk datang melihat keadaan rumahnya namun sehingga hari ini belum muncul dan hanya tinggal janji-janji kosong.

Katanya, penutupan jalan utama ke Taman Bukit Katil Permai itu telah menyusahkannya sekeluarga dan orang yang berada di taman belakang yang terpaksa pusing untuk ke jalan utama. Penutupan jalan tersebut juga mengundang kerisauan akibat limpahan air hujan yang sering memasuki ruangan laman dan kaki lima rumahnya.








Keretakan rumah akibat pembinaan jalan dan jambatan telah mengundang bahaya terutamanya dalam rumah yang saya diami. Walau sudah ditampal keretakan itu, ia tetap merekah dan rekahan itu semakin membesar serta kehidupan kami sekeluarga bagaikan bertarung nyawa.

Jambatan yang ditinggikan untuk tujuan sukan rekreasi

Alasan yang diberikan untuk meninggikan jambatan itu adalah untuk laluan bot bagi tujuan pelancongan namun ia hanya bersifat sementara kerana aliran air sungai itu cetek dan tanah sering mendap menyebabkan tidak boleh diadakan sebarang aktiviti reaksi dalam sungai tersebut. Selain itu juga, kemalangan juga sering berlaku selepas meninggikan jambatan itu dan beliau sudah dua kali terlibat sama dalam kemalangan itu.

Mah Bt. Kabul menunjukkan cara dia ke kedai sebelah

Beliau berkata, ibunya juga terpaksa memanjat pagar yang melintang dihadapan jalan semata-mata untuk ke kedai runcit bersebelahan. Jika tidak dipanjat, ibunya terpaksa pusing ikut jalan belakang yang jaraknya lebih jauh jika dibandingkan dengan hanya memanjat pagar berkenaan. Ia memang menyusahkan ibu saya untuk ke kedai.

Katanya, apa makna disebalik tema 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan jika ini kehidupan yang terpaksa kami lalui. Ia ibarat beruk dihutan disusukan tetapi anak sendiri diarkan kelaparan.

Rumah Fatimah

Jalan bersebelahan rumah Fatimah

Selama 40 tahun saya menyokong dan mengundi UMNO, ia seolah-olah tidak dihiraukan dan kami bagaikan tidak dipedulikan. UMNO yang memperjuangkan hak orang melayu tetapi kami yang melayu Islam dipinggirkan sebaliknya jalan bersebelahan tidak pula ditutup. Jalan sebelah adalah milik orang Cina. Mana pembelaan untuk melayu? Jika mahu menutup jalan, tutuplah kedua-dua jalan dan jangan bersikap tidak adil. Ujarnya.

Cuba bayangkan jika taman dibelakang tidak wujud, ke arah mana saya dan keluarga mahu keluar sekiranya jalan tersebut ditutup? Adakah mahu terbang atau menyelam ke dalam air untuk keluar ke jalan utama? Itulah persoalan yang patut dijawab oleh kerajaan pimpinan Ali Rustam dan UMNO.


Menurutnya lagi, kontraktor telah nilaikan harga pampasan yang berjumlah RM50,000 untuk semua kos. Kerja-kerja ini telah diserahkan oleh sebuah syarikat iaitu Kejuruteraan Asas Jaya Sdn Bhd yang berpangkalan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Tuesday, 18 October 2011

Bajet Diumum, Peniaga Terbeban


Seorang peniaga dari Taman Seri Duyung, Mohd Tahir Mohd Saad berkata semenjak kerajaan mengumumkan mengenai bajet "one-off" pada 7 Oktober 2011 yang lalu, beliau dan keluarga tidak mendapat sebarang manfaat dari bentangan bajet tersebut malahan kehidupannya semakin dihimpit dengan harga barangan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Pengumuman bajet tersebut tidak menguntungkan golongan rakyat terbawah sebaliknya hanya kakitangan kerajaan akan merasai imbuhan ini. Sebagai peniaga, beliau terpaksa menanggung beban kenaikan harga bahan basah seperti udang, ikan, ayam, telur dan barang berkaitan untuk berniaga.

Ini bukanlah satu bajet yang menguntungkan kami yang berniaga dan hanya golongan tertentu mendapat manfaat seperti ini. Pada pandangan saya bajet yang dibentang oleh Pakatan Rakyat lebih efisyen dan komprehensif berbanding dengan bajet "one-off" ini.

Pendapatan saya juga dalam sekitar RM1000 lebih dan itu pun bergantung kepada pelanggan yang datang ke kedai. Nasib baik anak saya dua orang. Seorang sudah mendirikan rumah tanggga dan yang seorang lagi menuntut di Tingkatan 5 dan akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai anak ramai dan isi rumah yang lebih?

Begitulah luahan peniaga kepada saya ketika saya sempat singgah di kedai beliau untuk minum. Diharapkan kerajaan lebih peka terhadap rakyat terbawah kerana mereka tetap rakyat walau tidak bekerja sebagai penjawat awam.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Turap Jalan Ikut Selera Rasa


Adakah kerana berbeza parti politik, hak rakyat perlu dinafikan semata-mata tidak mengundi parti pemerintah yang ada sekarang. Adakah jalan raya hanya wujud jika UMNO/BN memerintah? Di negara komunis seperti China sekali pun tetap ada jalan raya walhal tidak diperintah oleh UMNO. UMNO tidak ada di negara China tetapi keperluan rakyat sentiasa disediakan.

Lokasi ini terletak di Jalan Demang Husin yang juga berdekatan dengan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bukit Katil hanya kira-kira 100 meter sahaja. Mengapa perlu ada jurang pemisah dan menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat politik sempit pihak UMNO/BN?


Ketika ditanya kepada seorang penduduk, Zahari B. Hashim, 65, keadaan ini sepatutnya tidak patut berlaku memandangkan ia laluan utama kepada penduduk di Jalan Demang Husin ini. Tidak kira dia menyokong kerajaan atau pembangkang dan yang penting kerajaan perlu bertindak dengan adil kepada rakyat agar menikmati kemudahan yang sama rata dan tidak ada diskriminasi politik.

Tahukah UMNO/BN membezakan apa itu kerajaan dan parti? Akibat tidak faham istilah parti, maka UMNO/BN menjadikan kerajaan itu milik mereka. Urusan parti dengan kerajaan mereka telah campur adukkan seperti yang berlaku sebelum ini dalam laman sesawang kerajaan Negeri Melaka yang mana telah 'menghilangkan' lima ADUN DAP dari laman sesawang tersebut namun dimasukkan semula setelah isu ini heboh diperkatakan dalam media.

Jika benar-benar UMNO/BN mahu menolong rakyat, maka mereka perlu berbuat dengan adil supaya rakyat yang menyokong BN atau PR mendapat pembelaan yang sewajarnya dan tidak timbul isu mementingkan kroni semata-mata.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Monday, 17 October 2011

Mengapa Bangunan Ini Tidak Dirobohkan?

Pusat Perkhidmatan BN Bukit Baru

Berdekatan lampu isyarat

Pandangan hadapan lampu isyarat

Bangunan ini merupakan milik Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional DUN Bukit Baru yang terletaknya bersebelahan Masjid Bukit Baru telah lama beroperasi di kawasan ini dan yang menjadi persoalan ialah semua bangunan kayu yang terletak bersebelahan bangunan ini atau berhadapan dengan lampu isyarat telah dirobohkan kecuali Pusat Perkhidmatan DUN Bukit Baru milik komponen Barisan Nasional.

Adakah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional DUN Bukit Baru ini akan bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-13? Jika tidak, mengapa ia masih kekal dan tidak dirobohkan seperti bangunan-bangunan yang lain? Bangunan yang lain dirobohkan terlebih awal berbanding dengan pusat khidmat tersebut.

Tapak bangunan PAS Bukit Baru

Bangunan ini adalah bekas tapak milik pejabat PAS yang disewa semenjak Pilihan Raya Umum ke-11 pada tahun 2004 sehingga dilepaskan sewanya pada bulan Mac 2011. Bangunan ini pernah menjadi rebutan dan provokasi daripada pihak lawan yang mahukan bangunan ini tidak digunakan oleh pihak PAS menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan majlis ilmu.

Inilah bangunan tempat PAS menjalankan aktiviti ceramah dan majlis ilmu kepada penduduk sekitar Bukit Baru. Antara penceramah yang pernah hadir ialah Timbalan Presiden PAS - Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Machang - YB Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Parit Buntar - YB Mujahid Yusof Rawa dan ramai lagi pimpinan Pakatan Rakyat yang pernah hadir ke program anjuran Pejabat PAS Bukit Baru ini.

PAS menyewa bangunan ini berharga RM350 bagi setiap bulan tetapi tindakan licik Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam telah menyuruh orang bawahannya memujuk tuan rumah tempat PAS menyewa agar dikenakan sewaan yang tinggi dan ini menunjukkan sikap busuk hati seorang Ketua Menteri yang tidak berani bertempur di medan politik yang bersih dan sama rata.

Akibat daripada tindakan zalim dari pihak musuh, tuan rumah tidak tetanggung dengan berbagai helah dan tekanan yang diterima ke atasnya serta terpaksa akur menyerahkan bangunan itu kepada UMNO untuk dijadikan pejabat UMNO. Sehingga hari ini pejabat yang dikatakan akan menjadi pejabat UMNO belum lagi berfungsi sampai sekarang.

Pejabat itu kosong dan sepi dari penghuninya sebaliknya hanya menjadi tempat singgahan bahan binaan oleh seorang peniaga yang menjalankan aktiviti bahan binaan. Maka puaslah hati Ali Rustam kerana kejayaannya merampas tapak bangunan yang sebelum ini disewa oleh pihak PAS.

Tujuannya untuk menutup suara Islam dan suara-suara kebenaran yang sering diperkatakan oleh rakyat. Sesungguhnya itu adalah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh pihak musuh. Suara-suara kebenaran ini akan terus bergema dalam menongkah arus yang menjadi penghalang ke arah kebenaran dan menggegarkan Melaka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang.

Penyelia DUN Bukit Baru
Yusof Wahab

Saturday, 15 October 2011

Ziarah Ke Rumah Bakal Menunaikan Haji

Penyelia DUN Bukit Baru, Yusof Wahab dan bakal haji Musa B. Abdul Ghani

Petang tadi saya sempat berkunjung ke rumah sahabat yang bakal menunaikan ibadah haji di dua tempat iaitu di   UPU Paya Ikan dan UPU Bukit Katil. Mereka akan berlepas pada keesokkan hari dan juga pada minggu depan. Kedua-dua jemaah haji tersebut bakal berlepas berpasangan dengan isteri masing-masing.

UPU Paya Ikan

Isnin B. Kinang dan isterinya Kamariah Bt. Aziz


Isnin B. Kinang, 61 dan Isterinya Kamariah Bt. Aziz, 53 akan berangkat ke tanah suci Mekah pada keesokan hari iaitu pada 16 Oktober 2011 setelah giliran mereka telah diawalkan oleh pihak Tabung Haji tiga tahun dari tarikh sebenar mereka berangkat iaitu pada tahun 2014.

Kos yang dibayar oleh mereka ialah RM9,980 bagi setiap orang yang telah diberikan subsidi dari kos asal iaitu RM14,300 kerana mereka baru kali pertama menunaikan rukun Islam kelima itu. Bagi yang ingin ke Tanah Suci buat kali kedua, kos yang perlu dibayar ialah RM14,300 dan tiada sebarang subsidi dari pihak kerajaan. 

Kedua-dua mereka telah mendaftar pada tahun 2006 dengan Tabung Haji dan dijangka berlepas pada tahun 2014 namun nasib menyebelahi mereka untuk berangkat lebih awal. Mereka akan tiba di Jeddah sebelum berangkat ke Mekah dan Madinah

UPU Bukit Katil

Musa B. Abdul Ghani dan isteri Che Limah Bt. Che Ismail

Di UPU Bukit Katil pula, Musa B. Abdul Ghani, 63 dan isterinya Che Limah Bt. Che Ismail, 57 pula akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 22 Oktober 2011 jam 9.25 pagi.

Mereka telah mendaftar pada tahun 2007 dan dijangkakan berlepas pada tahun 2013 namun telah diawalkan oleh pihak Tabung Haji setelah mereka menjelaskan bayaran penuh berjumlah RM9,980. Mereka bersyukur kerana dapat berangkat ke sana dua tahun lebih awal ke Mekah.

Friday, 14 October 2011

Orang Cina Mahu Tukar Kepada Pakatan Rakyat

Leo Kim Cheng dan Yusof Wahab

Semalam saya sempat berbicara dengan seorang kaum Cina, Leo Kim Cheng di sebuah kedai mengenai unjuran bajet yang telah dibentang oleh Perdana Menteri, Najib Razak pada 7 Oktober 2011 yang lepas dan juga mengenai sokongan terhadap Pakatan Rakyat yang kian mendapat sokongan dari pengundi Cina terutama golongan yang berumur 21 hingga 40 tahun.

Ketika ditanya kepada Leo Kim Cheng mengenai sebarang program berkaitan dengan Pakatan Rakyat, beliau membenarkan segala aktiviti berkaitan Pakatan Rakyat diadakan di rumah beliau. Ini menunjukkan beliau tidak gentar dengan dengan menyokong Pakatan Rakyat dan mahukan perubahan segera kerana negara kita berada dalam keadaan yang genting di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Beliau berkata seluruh keluarganya menyokong Pakatan Rakyat tidak kira siapa calon yang diletakkan sama ada Parti Keadilan Rakyat, PAS atau DAP asalkan mereka di bawah payung Pakatan Rakyat. Ketujuh-tujuh anak beliau menyokong perjuangan yang di bawa oleh Pakatan Rakyat kerana lebih berpijak pada paksi dunia yang sebenar dan bukannya janji kosong seperti Barisan Nasional.

Ketika mengadakan majlis bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang dihadiri seramai 1500 jemputan yang turut dihadiri oleh ahli Parlimen Kubang Kerian iaitu YB Salahuddin Ayub,  Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ADUN Melaka iaitu YB Goh Leong San beliau yakin dengan sepenuh hati bahawa Pakatan Rakyat akan memenangi pilihan raya yang akan datang tidak lama lagi.

Mengulas mengenai bajet 2012, beliau berkata bahawa bajet yang dibentang itu hanya gula-gula untuk pilihan raya sahaja dan tidak memberikan impak kepada saya yang tidak bekerja mahupun kepada keluarga. Bukan sahaja tidak dapat dirasai malahan bau juga tidak dapat dihidu bajet yang dikatakan mesra rakyat atau 'one-off' itu. 

Katanya, bajet yag dibentang oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Rakyat adalah lebih relevan berbanding bajet yang digula-gula oleh Najib Razak itu. Bajet Najib mungkin tidak berkesan malahan telah dihidu oleh rakyat kerana ia bersifat angan-angan kosong. Dari mana Najib mahu dapatkan duit sebanyak itu?

Ia juga tidak memberi kesan untuk rakyat menyokong Barisan Nasional kerana sudah terbukti sebelum ini hanyalah omong-omong kosong dan pada hari ini (semalam) Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin telah hadir ke Melaka.

Pada pandangan beliau, Pilihan Raya Umum ke-13 sudah hampir dan seruan beliau kepada pengundi-pengundi di Malaysia supaya "UBAH" pemimpin sekarang dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat supaya kesejahteraan rakyat dapat dikembalikan.

Yusof Wahab
Penyelia DUN Bukit Baru

Thursday, 13 October 2011

Pelajar Sekolah Harapan Semakin Bertambah


Sekolah Harapan Negeri Melaka adalah idea daripada Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam telah dibuka pada tanggal 17 September 2010 iaitu pada hari Jumaat. Kini sudah genap setahun sekolah itu telah beroperasi di Jasin. Sekolah itu yang dikenali sebagai ''Sekolah Harapan'', berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di bekas pejabat Syarikat Air Melaka (SAM).

Peruntukan untuk Sekolah Harapan ini menelan kos RM1juta setahun dengan permulaan pelajar ketika dibuka adalah seramai 5 orang dan boleh memuatkan maksimum 40 pelajar. Namun, jumlah terkini pelajar tersebut adalah dua kali ganda jumlah maksimum tersebut iaitu seramai 87 orang sehingga setakat ini. Jumlah tersebut sudah cukup membuktikan semakin ramai yang terlibat dalam aktiviti kurang sihat ini.

Kebanyakkan pelajar yang menginap di Sekolah Harapan terdiri daripada mereka yang mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada tahun ini seramai empat orang menduduki peperiksaan PMR dan empat orang bakal menduduki SPM tidak lama lagi pada November ini.

Sekolah Harapan juga mempunyai kelas tambahan (tuisyen) yang akan diajar oleh guru daripada luar yang dijemput khas. Kebanyakkan mata pelajaran kelas tambahan ini melibatkan subjek teras seperti Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan beberapa mata pelajaran teras bagi subjek PMR dan SPM.

Jumlah kakitangan Sekolah Harapan pada ketika ini ialah seramai enam orang termasuk seorang pemandu. Kebanyakkan kakitangan sekolah ini di bawah kerajaan negeri dan diikat kontrak.

Statistik kelahiran bayi semenjak sekolah ini beroperasi adalah seramai 71 orang yang mana seorang bayi telah meninggal. Bayi-bayi yang dilahirkan itu diambil oleh keluarga pelajar tersebut untuk dijaga. Tempoh pelajar untuk berada dalam sekolah tersebut adalah tiga bulan selepas bersalin dan selepas itu mereka akan dikeluarkan dari sekolah tersebut untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Bagi pelajar sekolah itu pula ada yang kahwin dengan lelaki pilihan mereka yang sebelum ini telah terlanjur. Pelajar paling muda dalam sekolah tersbut adalah berusia 14 tahun dan kes ini di bawah kes polis memandangkan pelajar tersebut dikategorikan di bawah umur 16 tahun. 

Punca berlaku adalah disebabkan dari keluarga terbiar yang tidak mengambil berat keadaan anak-anak mereka. Kes-kes lain adalah daripada kes rogol sebanyak dua kes dan lain-lain kes adalah suka sama suka. Majoriti pelajar sekolah tersebut adalah berbangsa Melayu dan buat masa ini tiada dari bangsa selain Melayu.

Bayi-bayi juga ada disediakan ibu angkat namun sebelum bayi itu diambil ia akan menjalani proses temuduga dari jabatan agama sebelum bayi tersebut diambil oleh keluarga angkat terbabit untuk dijaga. Bantuan lain adalah dari badan bukan kerajaan seperti NGO seperti lampin dan keperluan untuk bayi dan ibu.

Yusof Wahab
Penyelia DUN Bukit Baru

Wednesday, 12 October 2011

Banjir Setiap Kali Hujan

Ali Johari dan Yusof Wahab

Semalam saya ke Kampung Tun Razak Fasal 2 untuk mendekati seorang penduduk yang selalu mendapat  'igauan ngeri' apabila setiap kali hujan turun. Mangsa seorang penduduk yang beralamat 3156 di Jalan Wakaf Utama 6 iaitu Ali B Johari sentiasa berdepan dengan masalah banjir kilat yang melanda rumahnya setelah 6 tahun menetap di rumahnya itu.

Kejadian banjir kilat ini berlaku setelah beliau membeli tanah pada tahun 2003 dengan harga RM55,000 dan jumlah keseluruhan termasuk tambak adalah sekitar RM70,000. Pada tahun 2005, beliau mendirikan rumah dengan membuat pinjaman perumahan berjumlah RM79,000. Semenjak beliau membeli tanah, tiada apa-apa yang berlaku dan sehinggalah masuk 2007 banjir kilat sering berlaku.

Taman yang menjadi punca banjir kilat


Beliau juga tidak dimaklumkan bahawa akan ada projek pembangunan di kawasan tersebut dan tiada sebarang papan tanda projek didirikan di kawasan tersebut seperti kebiasaan yang dilakukan oleh pemaju perumahan. Kerja penambakan tanah ini bermula semenjak 2006 lagi dan beliau terperanjat dengan apa yang berlaku itu. Pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah juga tidak mengetahui projek ini dilaksanankan.

Projek ini sebenarnya adalah projek milik kerajaan negeri yang diserahkan kepada sebuah syarikat Cina untuk menguruskan pembangunan di kawasana tersebut. Kejadian banjir kerap kali berlaku selepas penambakan tersebut dan longkang asal juga telah ditutup menyebakan aliran air tersekat dan ini menyebakna berlaku banjir kilat sehingga ke hari ini.

Pihak pemaju juga turut mengali kawasan tanah tanpa mengikut pelan. Kerja-kerja menggali ini dilakukan dahulu sebelum dimaklumkan kemudian dan keadaan ini amat menyusahkan penduduk yang terpaksa berhadapan dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat melanda. Istilah yang sesuai "Masuk rumah tanpa minta izin tuan rumah".

Lumpur setiap kali banjir melanda


Kekerapan banjir yang berlaku semenjak beliau menetap di situ adalah pada tahun 2007-2009 sebanyak 15 kali, tahun 2010 sebanyak 10 kali dan pada tahun ini sekitar 5 kali. Banjir paling besar pernah berlaku pada tahun 2007 telah dicatat setinggi 4 meter dan menenggelamkan rumah yang didiami oleh beliau, isteri dan seorang anak.

Masalah ini pernah diajukan kepada ADUN Ayer Keroh, Khoo Paoy Tiong namun tiada tindakan susulan diambil oleh kerajaan negeri dan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Isu ini sebenarnya sudah dua kali di bawa oleh ADUN Ayer Keroh ke dalam Dewan Undangan Negeri Melaka iaitu pada tahun 2008 dan 2009 tetapi tetap ditolak oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Ali Rustam.

Taman Tun Razak Fasa 2 ini terletak bersebelahan dengan kampung Ketua Menteri Melaka sahaja. Ketua Menteri Melaka lebih mementingkan keluarga sendiri berbanding masalah yang dialami oleh rakyatnya sendiri. Sebelum ini pernah juga kerajaan negeri berjanji untuk diambil tindakan melaksanakan namun akibat berbeza fahaman politik, penduduk terpaksa diketepikan begitu sahaja.

Wakil dari MCA/BN telah mengetahui status bahawa pemilik tanah tersebut menyokong pembangkang dan apakah hak wakil MCA untuk menafikan hak penduduk dan tindakan ini bermotifkan balas dendam memandangkan tuan tanah tersebut menyokong pembangkang. Ia tindakan tidak beretika dan umum mengetahui bahawa status pengundi itu adalah rahsia tetapi sewenang-wenangnya diceroboh oleh wakil MCA/ BN itu.

Ali B Johari juga pernah ditawarkan untuk diberikan pampasan sebanyak RM15,000 dari pihak kerajaan negeri namun ia tidak memadai kerana kos yang ditanggung adalah lebih besar dari kos pampasan tersebut. Punca segala-gala banjir adalah pembinaan taman. Sebelum pembinaan taman, banjir tidak pernah berlaku di kawasan ini.

Yusof Wahab
Penyelia DUN Bukit Baru

Tuesday, 11 October 2011

Sekitar Majlis Pengebumian Pak Sheikh


Hj Mohd Said Bin Omar atau dikenali sebagai Pak Sheikh bekas calon DUN Serkam, veteran PAS Melaka meninggal dunia dan telah dikebumikan pada jam 9 pagi semalam di Kampung Serkam Darat.

Pak Sheikh pernah menyertai pilihan raya kecil di N.17 DUN Serkam pada tahun 14 Disember 1992 (sekarang N.26 Serkam) di Parlimen Jasin menentang calon dari Barisan Nasional iaitu Haji Mohd. Saleh Bin Hj. Md. Ali. Dalam Pilihan Raya Kecil tersebut Pak Sheikh tewas kepada calon Barisan Nasional dengan majoriti 3,808 atau dengan 40% yang keluar mengundi.

Pilihan Raya Kecil di DUN Serkam diadakan pada ketika itu ekoran kematian calon dari Barisan Nasional iaitu Ariffin Hj. Baba.


Statistik Pilihan Raya Kecil ketika itu dengan pengundi berdaftar ialah 13,631 orang dan yang keluar mengundi pada ketika itu adalah seramai 9,841 orang atau 72.20% yang membuang undi dengan 396 undi rosak atau 4.02 %.

Pada Pilihan Raya Kecil tersebut, Hj Mohd Said Bin Omar dari PAS mendapat 2,956 undi atau 31.30% manakala Haji Mohd. Saleh Bin Hj. Md. Ali. dari UMNO/BN mendapat 6,764 undi atau 71.61%.

Ketika hayatnya dalam PAS, Allahyarham pernah memegang jawatan selaku YDP Kawasan Jasin dan menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Serkam. Selain itu, pernah memegang jawatan sebagai imam Masjid Serkam sebelum menyertai pilihan raya dan dipecat menjadi imam selepas Allahyarham menjadi calon di DUN Serkam pada PRK 1992.

Monday, 10 October 2011

Bantuan Kepada Ibu Tunggal

Dari kiri: Asmah dan Yusof Wahab

Bertempat di Permatang Duyong, saya telah berkunjung ke rumah ibu tunggal iaitu rumah Asmah Binti Dogol yang berusia 82 tahun hidup serba kekurangan dan mendapat bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai bekalan belanja. Namun duit bantuan tersebut tidak mencukupi memandangkan isi rumah ibu tunggal tersebut mempunyai dua keluarga.

Bukan seorang ibu tunggal dalam rumah tersebut namun dua ibu tunggal yang menetap di situ. Ibu tunggal kedua dalam rumah tersebut yang juga merupakan anak kepada Asmah iaitu Siti Hajar Binti Md Amin,  52 yang turut menetap bersama Asmah. Bagi Siti Hajar, beliau tidak bernasib baik seperti mana ibunya yang mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dari kiri: Yusof Wahab dan Siti Hajar

Rumah milik Asmah yang didiami oleh anaknya yang juga ibu tunggal, Siti Hajar

Menurut ibu tunggal bernama Siti Hajar yang kini terpaksa hidup bersama ibunya turut menanggung tanggungang untuk dua anaknya iaitu Jurina Bt Omar, 24 yang tidak bekerja dan Muhammad Fuad B Omar yang sakit dan terpaksa menjalani rawatan susulan di hospital Melaka.

Siti Hajar juga terpaksa menjaga adik lelakinya, Hanafi B Mat Amin yang turut sakit dan terpaksa menerima rawatan seperti mana anak lelakinya di hospital Melaka. Kos yang perlu ditanggung oleh Siti Hajar tidak mampu untuk dilaksanakan memandangkan beliau sendiri tidak mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ketika ditanya kepada ibu tunggal yang bernama Siti Hajar, beliau sebelum ini telah memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sehingga kini belum menerima apa-apa perkembangan daripada pihak yang berwajib yang telah berjanji untuk menunaikan rumah tersebut. Permohonan itu telah dibuat lebih kurang 3 tahun lepas namun sehingga hari ini belum diketahui statusnya.

Yusof Wahab
Penyelia DUN Bukit Baru